Home > Bahasa Melayu
Naubat dibuka semula
MAJLIS Istiadat Membuka Naubat berlangsung di Lapau di hadapan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohd. Asri Haji Abas
August 8th, 2017 | 09:15 AM | 1149 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Naubat kini sempurna dibuka semula berikutan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Ismail ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Muda Haji Hashim pada hari Isnin, 24 Julai yang lalu.
Majlis Istiadat Membuka Naubat berlangsung di Lapau di sini di hadapan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Bacaan tahlil dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Sementara Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis disusuli dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Berikutan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Ismail ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Muda Haji Hashim, Naubat ditutup selama 14 hari.
Berangkat dan hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Yang Dimuliakan Pehin-Pehin dan para jemputan.
Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Ismail telah kembali ke rahmatullah pada usianya 81 tahun.
Allahyarham YAM dilahirkan pada 21 Januari 1936, meninggalkan seorang balu, enam orang anak (empat lelaki dan dua perempuan) berserta 21 orang cucu.
Semasa hayatnya, YAM Pengiran Anak Haji Ismail dikurniakan dengan Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan, iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) dan Pingat Omar 'Ali Saifuddien (P.O.A.S).
Jenazah Allahyarham YAM Pengiran Anak Haji Ismail disemadikan di Kubah Makam Diraja.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]