Home > Bahasa Melayu
Rombongan Malaysia lawat Jabatan Daerah Tutong
PEGAWAI Penerangan dan Pegawai Perhubungan Awam Malaysia dibawa menyaksikan lebih dekat lagi berkenaan dengan Golden Corporation Sdn. Bhd., bertempat di Serambangun Tutong Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah
August 9th, 2017 | 09:18 AM | 933 views
TUTONG
Rombongan Pegawai Penerangan dan Pegawai Perhubungan Awam dari Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia hari ini meneruskan lawatan ke Jabatan Daerah Tutong.
Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia, Encik Erwin Khairul bin Ahmad dianggotai oleh empat Pegawai Penerangan dan Pegawai Perhubungan Awam dari Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
Ketibaan rombongan di Jabatan Daerah Tutong, di sini dialu-alukan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain.
Taklimat ringkas disampaikan oleh Pegawai Pentadbir Pelatih, Jabatan Daerah Tutong, Dayang Faadzilah Haji Abd Rahim yang antara lain menjelaskan fokus kemajuan jabatan berkenaan iaitu inisiatif-inisiatif yang mendokong usaha-usaha kerajaan untuk memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat seperti Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Perkembangan dan Pembangunan Ekonomi, Aktiviti-Aktiviti Keugamaan dan Pembangunan Infrastruktur.
Manakala Perkembangan Aquakultur Daerah Tutong juga disentuh dalam taklimat tersebut, di mana terdapat lima pengusaha udang dan satu pengusaha penetasan ikan selongsong di Kampung Keramut, Telisai dengan keluasan 92 hektar di samping tapak ternakan udang seluas 200 hektar di Syarikat Golden Corporations. Sebelum mengakhiri lawatan di Jabatan Daerah Tutong, rombongan dibawa melawat ke Pondok 1K1P iaitu Satu Kampung Satu Produk Daerah Tutong.
Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke tapak ternakan udang seluas 200 hektar di Syarikat Golden Corporations, Kampung Serambangun. Ketibaan rombongan di Golden Corporations, di sini dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Golden Corporation, Mr Desmond Lim.
Rombongan seterusnya menyaksikan tayangan video mengenai latar belakang Golden Corporations sebelum dibawa melawat untuk menyaksikan cara pemprosesan yang dijalankan.
Golden Corporations menjalankan tapak ternakan udang seluas 200 hektar yang bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran akuakultur untuk pasaran eksport serta menyediakan udang sebagai bahan mentah untuk loji pemprosesan yang kemudiannya akan dieksport ke luar negara.
Rombongan berada di negara ini selama lima hari, bermula 6 hingga 10 Ogos nanti bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman serta perkongsian maklumat tentang peranan dan fungsi masing-masing selaku telinga, mata dan lidah kerajaan kedua-dua negara ke arah memelihara, meningkatkan dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan melalui penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]