Home > Bahasa Melayu
Berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran NBD
Oleh : Aimi Sani / Foto : Masri Osman, Hamzah Mohidin
August 20th, 2017 | 09:52 AM | 1754 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 202 penerima sempena Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71, berlangsung di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Majlis Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam didahului dengan pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada 35 penerima.
Kebawah DYMM seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada 14 penerima.
Majlis disusuli dengan pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 144 penerima.
Sementara itu, seramai sembilan orang dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) terdiri daripada Pegawai-Pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Juga berangkat dan hadir dalam majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengiran-Pengiran Peranakan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]