Home > Bahasa Melayu
PEMODA Sertai Festival BIIBBF Ke-17 di Sabah
PELEPASAN konvoi jelajah oleh tetamu kehormat.
April 30th, 2016 | 10:24 AM | 1855 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jumaat, 29 April. - Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah memulakan jelajah bermotosikal ke negeri di bawah bayu, Sabah bagi menyertai acara Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) Ke-17 yang bermula hari ini hingga 1 Mei 2016.
Konvoi jelajah yang bermula di Dermaga Diraja, di ibu negara itu disertai oleh kira-kira 80 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan dan diketuai oleh Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.
Jelajah ini merupakan aktiviti tahunan PEMODA sejak festival ini diadakan pada 17 tahun yang lalu secara bergilir-gilir di seluruh kepulauan Borneo. Pada tahun ini, Sabah menjadi tuan rumah di dalam penganjuran festival yang berprestij dan terbesar di seluruh kepulauan Borneo ini.
PENGARAH Urusan Syarikat BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika menyerahkan baju tajaan BSM kepada Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.
Dijangka seramai 1,000 orang pemilik dan penggemar motosikal berkuasa tinggi dari seluruh kepulauan Borneo dan rantau ini akan menyertai festival tersebut.
Penyertaan PEMODA selaku salah sebuah persatuan induk penganjur festival ini akan membantu mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang sangat unik untuk diterokai.
Di samping itu juga, jelajah sejauh 700 kilometer ini turut memberikan peluang kepada PEMODA untuk mempromosikan Shell Advance Motorcycle Oils yang merupakan produk terbaharu Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) selaku penaja jelajah.
ANTARA peserta PEMODA yang menyertai jelajah tersebut.
Shell Advance adalah minyak pelincir yang dapat menjamin serta memberi perlindungan maksima dengan teknologi Shell PurePlus, iaitu revolusioner di mana gas diproses ke cecair (GTL). Ini adalah hasil daripada lebih 40 tahun penyelidikan.
Majlis pelepasan yang berlangsung pagi tadi itu dihadiri oleh Pengarah Urusan Syarikat BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat bagi melepaskan konvoi.
Yang Dipertua PEMODA ketika ditemui melahirkan rasa berbesar hati kerana tajaan daripada Syarikat BSM berkenaan adalah menunjukkan keprihatinan kepada kemajuan industri permotoran di negara ini.
"Mudahan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak akan berterusan bukan sahaja pada masa ini juga pada masa yang akan datang," tambahnya lagi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]