Home > Bahasa Melayu
Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 pada 3 September ini
Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
August 31st, 2017 | 10:00 AM | 1262 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 merupakan acara yang akan turut menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja yang akan berlangsung pada hari Ahad, 3 September 2017 di ibu negara.
Acara berbasikal tersebut akan meliputi perjalanan sejauh 11.5 kilometer bermula dari Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan melalui beberapa batang jalan-jalan utama antaranya Jalan Haji Basir; Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Perdana Menteri; Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dibukakan secara percuma kepada semua dan pada masa yang sama, para peserta, pengunjung dan ahli keluarga juga berpeluang memulakan hari mereka dengan menyertai Acara 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Perkara tersebut dijelaskan dalam sidang media yang diadakan di Dewan Pameran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan dan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Haji Idris bin Haji Mohd. Ali.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohammad; wakil JSKL ASP, Awangku Omar Ali bin Pengiran Haji Manshor; wakil Medik, Dayang Nora binti Haji Mohd. Yusof dan wakil Persatuan Basikal Negara Brunei Darussalam, Awang Mat Yassin bin Haji Abdullah.
Sidang media tersebut bertujuan untuk membarigakan dan memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2017 yang akan diadakan pada 3 September ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]