Home > Bahasa Melayu
Festival Cuti Sekolah bulan Disember
Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali
September 1st, 2017 | 10:09 AM | 1038 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Lembaga Pelancongan Brunei akan mengadakan Festival Cuti Sekolah bulan Disember 2017 dan akan menjadi perayaan pertama yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama beberapa pihak yang berkepentingan.
Di antara matlamat festival diadakan adalah bagi menyatukan beberapa acara dan aktiviti menarik yang dianjurkan oleh pelbagai pengurus acara yang akan diadakan pada bulan Disember iaitu sempena musim cuti persekolahan.
Perkara tersebut dijelaskan dalam satu sidang media yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Sunadi bin Haji Buntar dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Harun bin Juned.
Menurut Awang Wardi, pihak kementerian berharap dan percaya akan menarik rakyat Brunei untuk menghabiskan percutian di dalam negeri, selain meningkatkan bilangan ketibaan pelancong ke negara ini.
''Lembaga Pelancongan Brunei merancang untuk menjadikan festival ini program tahunan untuk ditambah di dalam kalendar yang dijangka akan menarik lebih banyak pelawat untuk datang serta penganjur acara untuk turut serta,'' jelasnya.
Awang Wardi menambah, setakat ini terdapat kira-kira 30 acara akan diadakan sepanjang bulan Disember itu nanti, di mana perayaan tersebut akan memberi tumpuan kepada beberapa tema termasuk Seni dan Budaya.
Manakala Timbalan Setiausaha Tetap, KHEDN, Awang Mohammad Sunadi pula menjelaskan, festival ini juga termasuk dalam aktiviti Bandarku Ceria setiap hari Ahad dan acara akan dibukakan kepada orang ramai.
Sementara Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) jelas Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Harun bin Juned akan menganjurkan Program Kem Ibadah dan ianya merupakan salah satu usaha pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Unit Belia Bahagian Imarah untuk memberikan peluang kepada belia dan beliawanis masjid.
Menurutnya, program ini akan melibatkan ke empat-empat daerah dan akan menyasarkan seramai 500 orang belia dan beliawanis seluruh daerah.
Sidang media tersebut merupakan usaha bagi membarigakan dan memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai Festival Cuti Sekolah bulan Disember depan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]