Home > Bahasa Melayu
ASEAN - Jepun terokai pelbagai kerjasama
MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dalam sesi bergambar ramai bersama wakil-wakil persatuan alumni ASCOJA dari negara ASEAN. Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman
September 10th, 2017 | 10:22 AM | 1020 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dengan bertemakan 'Enriching ASEAN - Japan Relations Through Culture, Education and Economy', Persidangan Majlis Alumni ASEAN - Jepun (ASCOJA) Ke-23 bertujuan untuk menangani keperluan pendekatan multi-disiplin bagi mencapai ASEAN yang benar-benar bersepadu dengan satu hati, satu minda dan dengan Jepun sebagai rakan kongsi.
Selain itu persidangan juga bertujuan untuk meneroka bidang-bidang yang berpotensi bagi kesinambungan kerjasama ASEAN dan Jepun terutamanya daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti NGO, komuniti akademik dan sektor swasta.
Persidangan berlangsung di Centrepoint Hotel di Gadong.
Persatuan Alumni Jepun - Brunei (BAJA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kedutaan Jepun menjadi tuan rumah bagi persidangan yang dihadiri oleh lebih 200 orang ahli alumni dari seluruh negara ASEAN dan wakil organisasi berkaitan Jepun.
Hadir pada majlis pembukaan persidangan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan mantan Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Yasuo Fukuda.
Persidangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi ASCOJA, Dr. Chin Wei Keh, diikuti dengan ucapan daripada TYT Yasuo Fukuda dan TYT Iwao Horii.
Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam ucapannya antara lain menyatakan, sejak wujudnya hubungan diplomatik pada tahun 1984, Kerajaan Jepun telah secara aktif mengusahakan pelbagai program pertukaran kebudayaan rakyat kepada rakyat (person-to-person) untuk menggalakkan minat dan pemahaman budaya Jepun di Brunei, seperti 'Japanese Speech Contest', 'Japanese Language and Culture Week', Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) dan juga Japan - East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS dan JENESYS 2.0).
Diadakan selari dengan persidangan tersebut ialah simposium The Asia Japan Alumni International (ASJA) - ASCOJA dengan tema 'ASEAN - Japan Trade Opportunity - Tapping into the Halal Market' yang mana dengan bertambahnya bilangan umat Islam di seluruh dunia, industri halal kini merupakan fenomena global dan telah memperluaskan gaya hidup seharian seperti produk makanan, kosmetik, bahkan diadakan pelancongan halal.
''Simposium ASJA - ASCOJA menyediakan platform untuk membincangkan kaedah-kaedah yang berpotensi bagi ASEAN dan Jepun menyumbangkan kepada pembangunan industri halal di mana peserta-peserta mempunyai peluang untuk belajar dari pengalaman terutamanya dari perspektif Brunei dalam membangunkan industri halalnya, di samping untuk meneroka potensi bidang kerjasama antara ASEAN dan Jepun dalam industri halal,'' jelas Yang Berhormat.
ASCOJA yang ditubuhkan pada 11 Jun 1977 merupakan persatuan serantau yang terdiri daripada organisasi-organisasi utama alumni di 10 negara ASEAN dan merupakan bekas-bekas graduan, penuntut dan pelatih di universiti-universiti, sekolah dan institusi latihan di Jepun, yang dapat memupuk persahabatan, pendidikan, budaya dan hubungan sosial di kalangan ahli-ahlinya terhadap hubungan ASEAN - Jepun yang dinamik.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Naib Menteri Luar Negeri Parlimen Jepun, Tuan Yang Terutama Iwao Horii; Duta Besar Mutlak dan Istimewa Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Negeri Jepun.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]