Home > Bahasa Melayu
Sambutan Hari Keluarga DSL Haji Samat meriah
Berita : Hajah Siti Muslihat Hj Salleh
September 24th, 2017 | 09:13 AM | 601 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Usaha-usaha untuk terus mengukuhkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan keluarga perlu terus diberikan perhatian khususnya dalam dunia moden ini.
Usaha mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan dan masyarakat ini turut diberikan perhatian oleh anggota negara ASEAN, serantau dan antarabangsa sebagai persediaan untuk menghadapi perubahan serta cabaran sosial yang dibawa oleh era globalisasi dunia tanpa sempadan.
Sehubungan itu, sempena Menyambut Awal Tahun 1439 Hijrah, Keluarga Datu Seri Lela (DSL) Haji Samat bin Sahap turut mengorak langkah ke arah mengukuhkan institusi keluarga dengan mengadakan Sambutan Hari Keluarga yang berlangsung di Padang Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar.
Acara didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur, Awang Haji Hamidi bin Haji Salleh diikuti dengan kata-kata perangsang dan nasihat daripada Penasihat Bersama, Awang Haji Gharif bin DSL Haji Samat yang seterusnya melancarkan sambutan diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Pengerusi Bersama dalam ucapannya, antara lain menggariskan tujuan sambutan diadakan, iaitu mengeratkan dan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga DSL Haji Samat, di samping membangkitkan semangat perpaduan dalam berkeluarga serta mengenalkan generasi lama kepada generasi baharu.
Sambutan diisikan dengan pelbagai aktiviti sukan ria yang dikendalikan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur.
Antara acara sukan yang diketengahkan termasuklah Tarik Kalat, Pancing Botol, Makan Roti Gantung, Ski Kayu, Meniup Belon, Mengumpulkan Gula-gula, Boling dan Ampal, Pingpong dalam Sudu, Memasukkan Bulatan Gelang dalam Botol dan Berlari secara Berundur. Sukan-sukan ini merupakan sukan yang popular suatu ketika dahulu.
Sambutan diserikan dengan pelbagai persembahan sampingan termasuk nyanyian dan persembahan muzikal, di samping cabutan bertuah.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang acara sukan disampaikan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penganjur.
Kira-kira 400 daripada sejumlah lebih 700 Ahli Keluarga DSL Haji Samat hadir pada sambutan tersebut.
Sebelum itu, keluarga berkenan mengendalikan beberapa aktiviti kekeluargaan termasuk menziarahi kaum keluarga yang kurang bernasib baik serta memberikan sumbangan kepada anak, cucu-cucu dan cicit-cicit DSL Haji Samat yang memerlukan bantuan.
Aktiviti lain termasuklah membersihkan tanah perkuburan dan tahlil serta mengunjungi Taman Riadah Wasai Wong Kadir, Rampayoh, Mukim Labi.
Buat masa ini, keluarga tersebut juga sedang dalam proses membukukan salasilah keturunan DSL Haji Samat sebagai rujukan dan tatapan generasi baharu.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]