Home > Bahasa Melayu
Wadah mengukuhkan taat setia kepada pemerintahan beraja
Oleh : Noraisah Haji Muhammed
October 10th, 2017 | 12:19 PM | 556 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) dihasrat akan menjadi satu wadah dalam mengukuhkan taat setia kepada kepimpinan pemerintahan beraja dan azam untuk mengekalkan keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan dalam negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan.
Forum khas yang berlangsung di Pusat Insani Seria itu diungkayahkan sebagai salah satu pengisian Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta untuk menyemai rasa cinta kepada negara dan kasih kepada raja.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd. Tamit.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan laungan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya dan bacaan hadis serta terjemahannya.
Forum dipengerusikan oleh Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dari Universiti Brunei Darussalam yang menekankan signifikan titah Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, amalan Doa Allah Peliharakan Sultan dan lagu kebangsaan dalam teras negara MIB.
Ahli panel, pengerusi dan skop perbincangan terdiri dari Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dengan skop perbincangan mengenai ‘Usaha-usaha kerajaan mengekalkan mutu kehidupan dari pelbagai aspek’; Pengarah Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Hambali bin Haji Jaili membawa skop perbincangan bertajuk ‘MIB dalam IPT dan amalan doa berdasarkan akidah yang betul serta kesannya dalam keharmonian beragama, bermasyarakat dan bernegara’; dan mantan Penolong Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Pengiran Dr. Hidup bin Pengiran Haji Samsuddin membentangkan skop perbincangan mengenai ‘Mempertahankan Adat Istiadat Diraja dan budaya Brunei serta keseimbangan perubahan dunia antarabangsa’.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi dan Pembangunan), Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Haji Mohammad Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh; Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar, selaku Pengerusi Forum Khas MIB; Pemangku Pegawai Daerah Belait dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Forum Khas MIB anjuran Jawatankuasa Kerja Pembarigaan MIB di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan telah bermula sejak 2 Oktober lalu dan dilaratkan di keempat-empat daerah dengan menampilkan beberapa panel dalam kalangan pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan jabatan serta swasta.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]