Home > Bahasa Melayu
Serikandi Group of Companies Serah Sumbangan bagi Kempen Kebersihan
PEGAWAI Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kempen Kebersihan Peringkat Daerah Belait menerima sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Serikandi Group of Companies, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.
May 3rd, 2016 | 07:57 AM | 3183 views
KUALA BELAIT
Isnin, 2 Mei. - Jawatankuasa Kerja Kempen Kebersihan Peringkat Daerah Belait akan mengadakan Kempen Kebersihan secara serentak pada 4 Mei 2016 khusus bagi membersihkan kawasan-kawasan luar dan dalam bangunan kerajaan, tapak-tapak dan bangunan komersial, kawasan perumahan, sekolah-sekolah dan seumpamanya di Daerah Belait.
Kempen ini akan disertai oleh pelbagai pihak, agensi-agensi kerajaan, swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, sukarelawan dan orang-orang perseorangan di Daerah Belait.
Kempen Kebersihan secara serentak itu dihasratkan agar semua pihak dapat sama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan pelbagai lapisan masyarakat di daerah itu juga akan menanamkan semangat dan sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan di mana jua tempat dan kawasan Daerah Belait ini setiap masa.
Sehubungan itu, Serikandi Group of Companies telah menyerahkan sumbangan bagi membantu pengendalian Kempen Kebersihan tersebut yang berupa 500 pasang sarung tangan, 1,000 keping plastik sampah dan 1,000 botol air mineral yang telah diterima oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kempen Kebersihan Peringkat Daerah Belait.
Penyerahan tersebut diadakan di Jabatan Daerah Belait dan ia diserahkah oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Serikandi Group of Companies, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.
Jawatankuasa Kempen Kebersihan Daerah Belait berharap agar lebih ramai lagi yang tampil ke hadapan dalam kalangan pelbagai pihak dan masyarakat di Daerah Belait ini untuk mengikut jejak langkah serta mencontohi Serikandi Group of Companies dan seterusnya mengadakan Kempen Kebersihan di kawasan masing-masing bagi memastikan kebersihan dan keindahan kawasan-kawasan dalam dan luar masing-masing sentiasa terjaga dan terpelihara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Noraisah Muhammed
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]