Home > Bahasa Melayu
Cerminkan keperibadian orang Brunei
Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman
October 20th, 2017 | 10:30 AM | 658 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun Ke-44, tahun 2017 diharapkan agar dapat mempromosikan Negara Brunei Darussalam dengan memberi maklumat yang tepat dan betul selaku 'Duta Kecil' negara, di mana gerak geri, perbuatan, tutur bicara dan sebagainya akan mencerminkan keperibadian orang-orang Brunei yang kaya dengan adat resam dan budi pekerti yang mulia secara amnya.
Demikian saranan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) Ke-44 yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Yang Berhormat kemudian menekankan, para peserta hendaklah memperbekalkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan meluas mengenai tanah air yang tercinta, sepertimana dalam ucapan National Leader mengenai 'Calak Brunei' yang merangkumi adat resam, kebudayaan, sosio ekonomi, sejarah, kehidupan dan sebagainya untuk dikongsikan dengan sebaiknya bersama peserta-peserta lain dari ASEAN dan Jepun.
Kontinjen negara seramai 29 orang terdiri daripada seorang ketua kontinjen atau National Leader, 12 peserta lelaki dan 16 peserta wanita merupakan penyertaan negara ke-32 sejak menyertai SSEAYP secara rasmi pada tahun 1985.
Terdahulu, Pemangku Jabatan Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed, dalam ucapan alu-aluan berkata, para peserta pada tahun ini telah membuat beberapa persiapan intensif dari pelbagai aspek, seperti yang dikehendaki oleh pihak penganjur iaitu Jepun, dengan menjalani Kursus Latihan Kepimpinan, perbincangan topik-topik, dan juga latihan kebudayaan sebagai persediaan bagi mempromosi dan mengangkat nama baik Negara Brunei Darussalam selaku 'Young Ambassador' dalam rancangan ini.
Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato, dan seterusnya menyerahkan tiket penerbangan yang diterima oleh Ketua Kontinjen, Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abd. Manap.
Dalam ucapan terima kasih beliau, Awang Muhammad Ihsan akan memastikan peserta-peserta SSEAYP 44 akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai duta kecil dengan bangga di samping membawa bersama 'Calak Brunei', iaitu identiti Brunei yang telah membentuk kita semua melalui kekayaan budaya dan tradisi.
Yang Berhormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyerahkan bendera negara kepada Ketua Kontinjen diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.
Turut hadir, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pegawai-pegawai Kanan dan juga para ibu bapa peserta SSEAYP 44.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]