Home > Bahasa Melayu
65 pelajar SSSRU 2016 Sekolah Ugama JIS terima penghargaan
Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd Zul-Izzi Haji Duraman
October 21st, 2017 | 09:30 AM | 1468 views
TUNGKU LINK
Seramai 65 murid Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS) menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Darjah VI (SSSRU) Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi berlangsung di Auditorium, Art Centre, JIS di sini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 48 murid mendapat Pangkat 1, 11 murid mendapat Pangkat 2 dan enam murid mendapat Pangkat 3, manakala daripada keseluruhan murid-murid yang lulus, seramai 12 murid telah berjaya memperoleh Pangkat 1 Agregat 5.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil-sijil kepada murid-murid yang lulus dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada dua Pelajar Cemerlang Sijil SSRU yang mendapat Pangkat 1 Agregat 5 dengan Kepujian dalam keseluruhan mata pelajaran iaitu Awang Abdul Wa'ie bin Adanan dan Dayang Nur Basirah binti Haji Mamit.
Yang Berhormat juga menyampaikan hadiah kepada 12 Pelajar Terbaik Sijil SSRU dengan memperoleh Pangkat 1 Agregat 5.
Majlis diteruskan lagi dengan persembahan tausyeh daripada murid-murid Sekolah Ugama JIS diikuti bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Guru Ugama Sekolah Ugama JIS, Awang Norimy bin Haji Ahad.
Majlis Penyampaian Sijil tersebut adalah acara tahunan anjuran pihak sekolah sebagai tanda penghargaan daripada sekolah khususnya kepada murid-murid yang telah mendapat kecemerlangan dan lulus dalam peperiksaan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Haji Mohd. Tamit; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Pemangku Penolong-Penolong Pengarah Pengajian Islam serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]