Home > Bahasa Melayu
Kerajaan ambil berat kepentingan pendidikan ugama
Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd Zul-Izzi Haji Duraman
October 21st, 2017 | 09:31 AM | 2240 views
TUNGKU LINK
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mengambil berat tentang kepentingan pendidikan ugama dan menjadikannya sebagai pendidikan formal dengan mengadakan serta menyelenggarakan persekolahan ugama formal sejak tahun 1956 semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menekankan perkara tersebut pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Darjah VI (SSSRU) Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong yang berlangsung di Auditorium, Art Centre sekolah berkenaan.
"Selama lebih 60 tahun (hampir 70 tahun) sehingga ke era pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, pendidikan dan pelajaran ugama itu telah berkembang dan ditingkatkan sampai ke peringkat pengajian tinggi dengan tertubuhnya Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali," tegas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, untuk memastikan adanya unsur ugama dalam sistem dan dasar pendidikan nasional, memastikan ia tidak tercicir dan dilupakan maka baginda telah menitahkan penggubalan undang-undang khas yang kita kenali sekarang sebagai Perintah Pendidikan Ugama Wajib, 2012 yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2013.
Terdahulu, Yang Berhormat bekata, Sekolah Antarabangsa Jerudong telah menampungi keperluan persekolahan ugama bagi kanak-kanak yang wajib mendapat pendidikan ugama secara bersekolah ugama dan tentu sahaja Sekolah Antarabangsa Jerudong telah mengambil langkah yang tepat dengan mendukung kehendak undang-undang menerusi Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 itu.
Yang Berhormat menambah, dalam hal ini kerajaan telah menyambut baik kemudahan yang diberikan oleh Sekolah Antarabangsa Jerudong itu dengan menetapkan dan seterusnya menyelenggarakan persekolahan ugama di Kompleks Sekolah Antarabangsa Jerudong ini yang diberi nama Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong dan setakat ini hanya ada tiga institusi pendidikan swasta (private) Sekolah Antarabangsa Jerudong, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan ISB (International School Brunei) telah menampung dan menyediakan kemudahan bagi murid-murid Islam yang bersekolah di sekolah masing-masing mengikuti pendidikan ugama secara bersekolah ugama di bangunan mereka.
Dalam ucapan, Yang Berhormat juga menyentuh mengenai erti kata berjaya itu ialah berilmu (apa pun peringkat persekolahan dan pendidikannya), beriman dan berakhlak mulia dan dengan itu mereka akan menjadi individu yang taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya, taat kepada raja iaitu wali al-amri dalam berpemerintahan dan bernegara dan serentak dengan itu mereka adalah warganegara yang baik yang mematuhi undang-undang dan tradisi hidup berbaik-baik dan harmoni.
Yang Berhormat yakin guru-guru menyedari akan tujuan menjadikan anak didik mereka berjaya sedemikian itu dan tentu sahaja ia suatu yang berat untuk dipikul namun guru-guru sangat menyedarinya dengan baik dan tidak akan mungkir untuk berusaha mencapainya.
Sementara itu, jelas Yang Berhormat lagi, ibu bapa pula tentu sangat memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai indung yang mahukan anak-anak mereka menjadi zuriat yang soleh dan ke arah matlamat itu, indung dan guru hendaknya akan saling memahami dan bekerjasama.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]