Home > Bahasa Melayu
UNISSA - UNMUL giatkan kerjasama Latihan Pendidikan
ROMBONGAN UNMUL bergambar ramai.
November 21st, 2017 | 14:00 PM | 916 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam usahanya untuk menggiatkan lagi pencapaiannya ke tahap antarabangsa telah menjadi destinasi Program Latihan (Internship) universiti luar.
Universiti Mulawarman (UNMUL), Republik Indonesia sebuah institusi pengajian tinggi di Kota Samarinda, Timur Kalimantan telah menghantar seramai 23 tenaga akademik dan pelajar Lepas Ijazah Program Magister Kependidikan untuk menjalani Program Latihan dan Bengkel selama lima hari bermula 6 November 2017.
Program berkenaan telah dikendalikan oleh Pusat Teknologi dan Multimedia (PT), UNISSA dengan kerjasama Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, UNMUL atas dasar memperkasa intipati daripada kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan UNMUL, yang telah termeterai penandatanganannya pada 22 Mei 2017 yang lalu.
Antara objektif program ialah, bagi mempereratkan lagi jalinan ukhuwah antara kedua-dua buah universiti, di samping untuk membawa mereka mengenali lebih dekat lagi mengenai Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab pelajar UNMUL, untuk mengetahui dan memahami akan pentingnya Pengurusan Latihan Pendidikan dalam pembinaan kemampuan khusus pengurusan pendidikan dan sekali gus mampu membina dan mengembangkan Pengurusan Pendidikan di berbagai satuan pendidikan.
Dalam program ini juga, UNISSA telah sempat mengadakan bengkel 'Pembuatan Modul Pembelajaran dan Pengajaran bagi Pensyarah Muda'.
Fasilitator bengkel tersebut disampaikan oleh Ketua S2 Pendidikan UNMUL, Profesor Dr. Haji Zaenab binti Hanim, M.Pd dan dihadiri oleh beberapa orang tenaga akademik UNISSA.
Program diakhiri dengan sesi lawatan di persekitaran Bandar Seri Begawan antaranya Galeri Alat-Alat Kebesaran Diraja dan Muzium Maritim Brunei, menyusuri perairan Kampong Ayer dan Taman Mahkota Jubli Emas serta meninjau keunikan Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]