Home > Bahasa Melayu
Hubungan persahabatan Brunei - Lao kukuh
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachith dan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith serta kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao sempena dengan Hari Kebangsaannya yang Ke-42.
December 2nd, 2017 | 09:51 AM | 720 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachith dan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith serta kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao sempena dengan Hari Kebangsaannya yang Ke-42.
Di dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, TYT Bounnhang Vorachitch, baginda menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao telah menikmati perhubungan persahabatan yang akrab. Baginda seterusnya berharap akan dapat bekerja dengan TYT pada mengukuhkan lagi pertalian yang sangat berharga dan penting ini lebih-lebih lagi apabila kedua-dua negara akan menyambut 25 tahun penubuhan hubungan diplomatik pada tahun hadapan.
Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, TYT Dr. Thongloun Sisoulith, baginda menyatakan bahawa tahun hadapan adalah waktu yang sesuai bagi Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Lao melihat kembali pencapaian dan meneroka bidang kerjasama baharu apabila kedua-dua buah negara menyambut Ulang Tahun yang Ke-25 Penubuhan Hubungan Diplomatik. Baginda seterusnya berharap dapat terus bekerja dengan TYT bagi meningkatkan jalinan hubungan yang sangat bernilai di peringkat dua hala dan serantau demi kepentingan kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.
Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, baginda berharap semoga Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, TYT Bounnhang Vorachith dan juga Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, TYT Dr. Thongloun Sisoulith akan sentiasa berada dalam kesihatan dan kegembiraan yang berterusan serta rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao akan terus menikmati kemakmuran yang berpanjangan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]