Home > Bahasa Melayu
Pemandu teksi sapu disaran daftar secara sah
Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
December 6th, 2017 | 09:39 AM | 450 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan mengingatkan orang awam bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 56 Akta Lalu Lintas (Road Traffic Act) Penggal 68 iaitu menggunakan kenderaan persendirian sebagai pengangkutan awam tanpa mempunyai lesen (permit).
''Melalui 13 operasi dan pemantauan mingguan yang dilakukan oleh penguatkuasaan JPD, sebanyak 95 buah kenderaan telah dikeluarkan notis kerana dicurigai melakukan aktiviti teksi sapu,'' jelas Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud semasa Sidang Media yang berlangsung di JPD, di sini.
Jelasnya, pemandu teksi sapu yang didapati bersalah akan dikenakan denda sebanyak BND50 bagi kesalahan pertama; BND150 bagi kesalahan kedua; BND300 bagi kesalahan ketiga; BND500 bagi kesalahan keempat; bagi kesalahan kelima akan dihukum penjara 6 bulan dan denda BND10,000 di samping dikenakan 9 mata demerit.
Tambahnya, JPD juga mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan khidmat teksi sapu walaupun ditawarkan harga murah, kerana ia boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini.
Pemandu teksi sapu pula tegasnya, disaran untuk memberhentikan aktiviti yang menyalahi peraturan tersebut dan digalakkan untuk mendaftar menjadi pemandu teksi yang sah.
JPD turut menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan kenderaan dipinjamkan dengan kebenaran yang teratur dan sentiasa memantau aktiviti penggunaannya.
Bagi kenderaan yang berada di bawah kawalan syarikat hendaklah memastikan kenderaan yang digunakan oleh pekerja adalah selaras dengan lesen atau permit yang diberikan.
Manakala Syarikat Kereta Sewa Pandu Sendiri (KSPS) perlu sentiasa memastikan kenderaan sewa adalah dilindungi insuran seperti yang dikehendaki dalam syarat sewa dan upah.
Sementara itu, bagi orang ramai yang menjual kenderaan, pemilik asal disarankan untuk memastikan nama dalam buku pendaftaran kenderaan ditukar sendiri dalam tempoh 14 hari kenderaan dijual, agar tidak berlaku kekeliruan jika sekiranya kenderaan berkenaan didapati disalahgunakan.
Sebarang pertanyaan lanjut atau aduan mengenai teksi sapu, orang ramai boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan JPD melalui nombor +673 7292017 atau menghubungi Talian Darussalan 123.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]