Home > Bahasa Melayu
379 Belia Sertai PKBN Pengambilan Ke-7
December 10th, 2017 | 09:54 AM | 1131 views
TEMBURONG
Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Ke-7 melakarkan satu lagi sejarah dengan pengambilannya terbesar setakat ini iaitu seramai 379 belia terdiri daripada 261 lelaki dan 118 perempuan yang bakal mengikut latihan, mengatasi pengambilan-pengambilan yang terdahulu.
Tahun ini juga menandakan tahun kedua PKBN menggunakan Kem Kekal PKBN, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan Majlis Pelancaran PKBN Pengambilan Ke-7 ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, berlangsung di Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, di sini.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' oleh pelatih PKBN Pengambilan Ke-7 dan kemudiannya ucapan alu-aluan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail, selaku Pengerusi Majlis.
Majlis diteruskan dengan persembahan daripada para pelatih PKBN Pengambilan Ke-7, iaitu Lafaz Ikrar PKBN dan bacaan Doa Selamat bagi menyempurnakan majlis.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pemangku Pegawai Daerah Temburong dan ahli-ahli 'Taskforce' PKBN.
Sepanjang 100 hari berada di Kem Latihan tersebut, pelatih-pelatih akan didedahkan kepada empat komponen utama program yang dibentuk dalam Calak Brunei, iaitu komponen jati diri, kenegaraan dan keagamaan, komponen latihan disiplin dan fizikal, komponen keusahawanan dan komponen khidmat komuniti.
Aspek-aspek kepimpinan dan pengurusan turut dititikberatkan dalam program ini terutama dalam aspek pengurusan kewangan dan perniagaan, sebagai langkah dorongan dan membina semangat serta keinginan para belia untuk menjadi seorang usahawan yang akan mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.
Antara matlamat jangka panjang program ini adalah untuk membangun sebuah masyarakat belia yang bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, bersatu padu, cekal yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan memperkukuhkan ketahanan nasional.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]