Home > Bahasa Melayu
Jumlah pelajar bahasa Arab meningkat
December 12th, 2017 | 09:40 AM | 638 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar berkata, jumlah pelajar bahasa Arab di dunia secara amnya, dan di Negara Brunei Darussalam secara khasnya, telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Berucap semasa merasmikan Multaqa Pendidikan Bahasa Arab di peringkat Universiti di Negara Brunei Darussalam bertempat di Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Yang Mulia menjelaskan peningkatan jumlah pelajar-pelajar ini boleh dijumpai di pusat-pusat pengajaran bahasa Arab, di institusi pengajian tinggi, di negara ini.
Objektif yang digariskan oleh Multaqa ini jelasnya, bersesuaian dengan apa yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.
Baginda meyakini bahawa ini hanya akan dapat dicapai dengan menggalakkan pembelajaran bahasa Al-Quran, sehingga Al-Quran, As-Sunnah, dan kitab-kitab turath dapat difahami dengan pemahaman yang betul.
Baginda juga berulangkali mengingatkan betapa pentingnya memberi perhatian lebih kepada pengajaran bahasa Arab, juga dalam pemilihan guru yang berkelayakan, yang mampu melaksanakan tanggungjawab besar ini.
Justeru itu, peningkatan jumlah pelajar-pelajar tersebut ujarnya, adalah sebagai bukti bahawa bahasa Arab telah mendapatkan perhatian yang besar daripada baginda, dan juga daripada rakyat di negara ini.
''Ini dipastikan dapat membantu untuk menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti komputer, internet dan media sosial dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Arab, juga dalam mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk menguatkan motivasi pelajar dalam belajar, serta membantu mereka dalam menguasai kemahiran bahasa yang diperlukan,'' jelas Timbalan Menteri Pendidikan.
Multaqa yang dianjurkan oleh UNISSA menerusi Fakulti Bahasa Arab (FBA) dengan kerjasama Pertubuhan Islam Dalam Bidang Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ISESCO) dan Penerbitan Granada dan khidmat pendidikan itu membawa tajuk 'Mengaplikasi Pendekatan Sistem Pendidikan Moden Dan Penggunaan Teknologi Pengajaran: Ke Arah Peningkatan Holistik Dalam Pengajaran Bahasa Arab Bagi Bukan Penuturnya' yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 13 Disember 2017.
Seramai 41 orang terdiri daripada tenaga-tenaga akademik dari Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Pusat Bahasa Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta Pegawai-pegawai Jabatan Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para guru dari Sekolah-sekolah Arab di negara ini menyertai Multaqa tersebut.
Hasil multaqa ini akan dapat menyumbang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di negara ini.
Antara objektif utama penganjurannya ialah bagi meningkatkan kualiti pensyarah-pensyarah bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam dalam bidang kemahiran pendidikan dan pengajaran.
Antara skop yang dikaji adalah isu pendidikan dan kurikulum yang dihadapi oleh para pensyarah bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam dan cara mengatasinya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]