Home > Bahasa Melayu
Malam Pementasan Kebudayaan, Kesenian Islam meriah
December 14th, 2017 | 09:25 AM | 339 views
KUALA BELAIT
Malam Pementasan Kebudayaan dan Kesenian Islam dihasrat dapat memberi pendedahan kepada belia tempatan untuk bergiat aktif dengan acara atau kegiatan keagamaan melalui kesenian juga kebudayaan yang berlandaskan syariat.
Biro Belia, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait mengadakan Malam Pementasan Kebudayaan dan Kesenian Islam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Datin.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Sunadi bin Haji Buntar serta penduduk sekitar Perpindahan Kampung Pandan, Kuala Belait.
Pementasan tersebut dapat memberi peluang para belia dan beliawanis untuk berani tampil di hadapan khalayak ramai khususnya dalam memberikan persembahan dan penyampaian mesej berbentuk nasihat serta panduan dalam bentuk hiburan.
Ia juga membuka peluang kepada belia beliawanis untuk mempelajari teknik-teknik vokal dan permainan alat muzik Islami dengan betul, profesional juga bersistematik dan memberi pendekatan kepada para belia dalam meningkatkan keyakinan diri untuk lebih berani berdiri sendiri serta berdikari untuk memperbaiki diri, jati diri, fizikal dan rohaniah dalam melahirkan belia soleh juga solehah yang berbakat dan berkebolehan dalam pelbagai aspek.
Para belia dan remaja adalah masyarakat sasar. Majlis membawa tema 'Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil' selaras dengan tema Sambutan Maulud Peringkat Kebangsaan yang disambut pada pada 12 Rabiulawal 1439 Hijrah bersamaan 1 Disember 2017 Masihi baru-baru ini.
Pementasan yang bercorak kebudayaan dan kesenian Islam turut diisikan dengan zikir selawat, nasyid, tausyeh, deklamasi sajak juga puisi, pentomin serta teater yang diiringi dengan bantuan alat-alat muzik secara 'live' dan 'minus one' bagi menghidupkan suasana pementasan yang boleh memberikan satu impak serta kesan yang mendalam kepada para jemputan yang menyaksikan pementasan itu.
MPK melalui khidmat Kumpulan Nasyid The Fitrah bertindak selaku hos pementasan, jurulatih juga tenaga pengajar kepada belia dan beliawanis yang terlibat, di mana bakat mereka turut digilap sama ada dalam meningkatkan mutu vokal, teknik bermain alat perkusi dan gaya persembahan mereka.
Artis-artis yang terlibat pada pementasan tersebut ialah Kumpulan Nasyid The Fitrah (selaku hos persembahan), Kumpulan Saba'ah - IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Kumpulan Asyuhada, Kumpulan Ar Raudah, Kumpulan Zahiran, PERSIB CD BELAIT - Team Teater dan Md. Sawarli Abdullah.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Pementasan, Awang Haji Mohamed Ridzuan bin Haji Mohamed Sani dalam ucapannya berharap pementasan itu dapat melahirkan satu perpaduan yang lebih akrab di antara satu pihak dengan pihak yang lain melalui aktor utamanya dalam meraih keredaan Allah dan rahmat-Nya serta menanam rasa kerinduan juga kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Selain itu, ia diharap akan dapat melahirkan para belia beliawanis soleh solehah yang kreatif, inovatif dan terpimpin serta sentiasa bersikap siap sedia untuk berbakti pada raja, agama, bangsa dan negara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]