Home > Bahasa Melayu
Sukarelawan penting dalam pembangunan negara
December 16th, 2017 | 09:24 AM | 1204 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 5 Disember sebagai Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia.
Negara Brunei Darussalam sebagai anggota ahli dalam PBB juga tidak ketinggalan memainkan peranannya untuk sama-sama menekankan akan pentingnya sumbangan dan penglibatan para sukarelawan termasuk masyarakat, dalam hasrat untuk membangun sesebuah negara.
Sempena sambutan tahun ini, Pelita Brunei mendekati beberapa orang sukarelawan bagi mengetahui peranan dan pandangan mereka mengenai kesukarelawanan.
Awang Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim, 32, menjelaskan sukarelawan adalah individu yang menjalankan aktiviti yang digemarinya atau disukainya sama ada secara berkumpulan atau persendirian dengan kerelaan hatinya tanpa mengharap balasan daripada pekerjaan atau aktiviti yang dijalankannya.
Menurutnya, aktiviti kesukarelawanan adalah suatu hal yang unik di mana individu boleh saling bertukar ilmu atau kemahiran di samping berkongsi / bersedekah masa sesama insan serta merapatkan jurang di antara generasi muda dan lama.
Menjadi Sukarelawan atau aktif di dalam aktiviti kesukarelaan katanya adalah suatu pilihan di mana dalam Islam ada menyatakan bahawa sebaik-baik manusia itu adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain.
Kerja sukarela tambahnya, tidak semestinya dengan menyertai program, tetapi boleh saja dilakukan di mana saja dan bila-bila masa melalui aktiviti kesukarelawanan yang akan dapat menyelami serta memahami peranan sesama manusia.
''Dalam konteks yang lebih besar, melalui aktiviti kesukarelaan ini saya dapat mempelajari serta belajar memimpin dan dipimpin, mempelajari kemahiran-kemahiran seperti komunikasi, disiplin diri dan sebagainya,'' ujarnya yang bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan sejak tahun 2011 dan merupakan salah seorang pengasas Belia Brunei Prihatin serta pernah menguruskan beberapa projek dan misi bantuan di negara ini.
Dayang Hana Farhana binti Haji Md. Som, graduan tahun akhir di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pula menganggap bahawa pengalaman yang diraih daripada kerja kesukarelawanan adalah suatu yang sangat bernilai kerana baginya sukarela bukan saja bermaksud menghulurkan bantuan tanpa mengharap balasan, malah ianya lebih daripada itu.
Dengan melakukan aktiviti kesukarelawanan katanya, bermakna akan bekesanggupan meluangkan masa dengan masyarakat, meraih pengalaman dan meneroka sesuatu yang baharu.
''Ganjaran yang diraih daripada kesukarelawanan ini selalu menjadi salah satu sebab utama mengapa saya masih ingin menjadi sukarelawan kepada masyarakat. Saya kini berada dalam tahun terakhir di UBD mengambil jurusan Geografi dan Pembangunan, oleh itu sebelum memasuki fasa kerja dan mempunyai komitmen lebih banyak, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk menyumbang seberapa banyak yang boleh kepada masyarakat,'' tambahnya.
Sebagai sukarelawan membolehkan beliau bekerja dan bertemu dengan pelbagai jenis masyarakat dan juga percaya ianya dapat membantunya dari segi komunikasi dan kemahiran berfikir kritis yang berguna ketika di alam pekerjaan nanti.
Beliau yang juga terlibat secara aktif dalam 'Bina Ukhwah Home Betterment Programme' iaitu satu projek kemasyarakatan di bawah Projek Bina Ukhwah yang tercalon sebagai Anugerah Projek Belia Cemerlang pada Anugerah Belia Kebangsaan tahun ini, turut merasa bertanggungjawab membantu kerajaan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Bagi Dayang Nurul Izzati Khairunnisa binti Embran, kesukarelawanan merupakan proses pembelajaran di luar daripada bilik darjah yang hanya dapat diraih oleh individu tersebut dengan melakukan sendiri sesuatu tugasan.
''Kebanyakan orang pasti akan mengatakan kesukarelawanan ini sesuatu yang meletihkan, namun jika dilihat dari segi positifnya, kita akan dapat belajar daripada orang di sekeliling sekali gus memberi kesedaran untuk diri sendiri,'' ujarnya yang merupakan ahli dalam dua persatuan iaitu Society for Community Outreach and Training (SCOT) dan Persatuan Kemajuan Insan (KESAN).
Terlibat dalam kesukarelawanan sejak berusia 15 tahun, beliau gembira kerana dapat membantu orang lain dan juga diri sendiri untuk menjadi lebih baik, melatih dan bersiap sedia menghadapi cabaran yang lebih berat dan mampu menangani situasi dan menyelesaikan masalah bersama-sama.
Beliau yang juga aktif menyertai Kelab CCA iaitu V-Club, pada awalnya berfikir ianya adalah satu trend untuk mengumpulkan seberapa banyak sijil, namun akhirnya menyedari apa yang mustahaknya adalah dapat mempelajari daripada kesukarelawanan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]