Home > Bahasa Melayu
Pelumba tempatan juarai Kategori Motocross Terbuka
December 18th, 2017 | 10:52 AM | 735 views
TUTONG
Peserta Brunei, Awang Mohd. Shahnizzam bin Haji Tamit berjaya menjuarai Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2017 bagi Kategori Motocross Terbuka, diikuti tempat kedua oleh Jovie Saulog dari Republik Filipina, manakala Muhammad Syazwan dari Sarawak, Malaysia menduduki tempat ketiga.
Kategori Veteran Terbuka pula dijuarai oleh Jovie Saulog dari Republik Filipina, tempat kedua diraih oleh Joseph Woon dari Sabah, Malaysia dan peserta dari negara tuan rumah, Awang Haji Jamil bin Haji Abd. Karim tempat ketiga.
Sementara itu, Muhammad Syazwan dari Sarawak menjuarai bagi Kategori Novice / Ladies diikuti tempat kedua, Andriano Bob dari Tawau, Sabah dan tempat ketiga, Janielle Saulog dari Republik Filipina.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang pada acara yang berlangsung di kawasan tanah lapang Sungai Besar, Tutong ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat.
Bagi Kategori Cubcross / Minicross pula dimiliki oleh Jusre Sahidin dari Sabah, Malaysia; naib juara, Mohd Nur Shahizad dari Sarawak dan tempat ketiga, Dayang Liyana binti Zakaria dari Brunei Darussalam.
Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2017 itu merupakan salah satu aktiviti yang dimuatkan dalam Festival Disember Brunei 2017 kelolaan Gerakan Pakatan Pemuda Sukarela, Tutong.
Lebih 40 peserta dari beberapa buah negara ASEAN termasuk pelumba tempatan telah mendaftar untuk menyertai perlumbaan berkenaan yang mewakili Republik Indonesia, Republik Filipina, Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Acara bertujuan untuk menghidupkan kegiatan rekreasi dalam kalangan belia, di samping menjalinkan hubungan silaturahim antara peserta kebangsaan dan antarabangsa sambil mengembang luas daya fikir bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang teknologi khusus dalam bidang mekanikal.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]