Home > Bahasa Melayu
46 mahasiswa hadiri bengkel penyelidikan sejarah
BENGKEL Kaedah Penyelidikan Sejarah dan Warisan Budaya Kampong Ayer Fasa ke-3, 2018 anjuran Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama APB.
February 15th, 2018 | 09:21 AM | 598 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sebagai langkah awal yang perlu diketahui oleh para mahasiswa dan mahasiswi sebelum turun ke lapangan bagi melaksanakan projek penyelidikan mengenai sejarah Kampong Ayer, seramai 46 mahasiswa dan mahasiswi Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghadiri Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah dan Warisan Budaya Kampong Ayer Fasa Ke-3, 2018 yang berlangsung di Galeri Sejarah, Pusat Sejarah Brunei (PSB).
Bengkel tersebut dianjurkan oleh PSB dengan kerjasama APB.
Projek yang dijangka dimulakan pada 26 Februari ini merupakan kesinambungan daripada penyelidikan sejarah Kampong Ayer 2016 - 2017 yang meliputi kajian atas asal usul sejarah, tokoh dan salasilah, sosiobudaya dan kemajuan dalam pembangunan.
Terdapat tiga kaedah yang disampaikan dalam bengkel tersebut iaitu kaedah penyelidikan sejarah yang memfokuskan kepada tata cara, teknik-teknik dan praktikal dalam wawancara atau menemu bual informan.
Bengkel tersebut diteruskan lagi dengan Taklimat Kaedah Penulisan Sejarah yang disampaikan oleh wakil PSB yang merangkumi penulisan disiplin dan format-format yang khusus ke atas dapatan bahan sejarah lisan untuk ditulis dalam bentuk penulisan sejarah.
Taklimat mengenai Kaedah Penggambaran yang disampaikan oleh wakil PSB, Pengiran Haji Fawzy bin Pengiran Haji Ahmad mengakhiri bengkel tersebut.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Rohani Haji Abdul Hamid
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]