Home > Bahasa Melayu
Semarakkan Upacara Hari Kebangsaan Ke-34
SUASANA di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah antara yang hadir para media tempatan, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.
February 15th, 2018 | 09:35 AM | 888 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sebagai sebuah negara yang sentiasa mengharap taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala serta keberkatan dalam membangun dan memajukan negara ini, beberapa acara keagamaan akan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34, Tahun 2018.
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil yang juga selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan berkenaan berkata, Majlis Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada Khamis, 22 Februari 2018 bermula jam 5.45 petang bertempat di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.
"Walau bagaimanapun, Majlis Kesyukuran ini juga diadakan secara serentak di semua masjid, surau-surau dan balai ibadah di seluruh negara di mana di Daerah Tutong tumpuan utama ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di Daerah Belait tumpuan utama di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan di Daerah Temburong tumpuan utama ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar," ujar Datin Paduka pada Sidang Media Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34, tahun ini bertempat di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34, Tahun 2018 jelas Datin Paduka, Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan akan diadakan pada Ahad, 25 Februari 2018 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien yang mana akan bermula pada jam 7.00 pagi.
Datin Paduka menambah, Majlis Penurunan Bendera Besar Negara juga akan diadakan pada 25 Februari, jam 2.15 petang bertempat di Kawasan Lapang Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan tetamu kehormat majlis itu nanti ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman.
Di samping itu, Datin Paduka juga menyentuh beberapa aktiviti acara-acara keraian / sampingan akan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-34, Tahun 2018 termasuklah Program Belia Cinta Tanah Air (19 - 24 Februari 2018), Minggu Gastronomi Brunei (23 Februari 2018 hingga 11 Mac 2018), Asian Development Tour (ADT) Brunei Golf Championship (7 - 10 Mac 2018), Majlis Khatam Al-Quran 34 Kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-34, Tahun 2018 (8 Mac 2018), Larian Hari Kebangsaan 2018 (11 Mac 2018) dan Pertandingan Bicara Berirama (11 Mac 2018).
Pada Sidang Media tersebut, Datin Paduka juga mengalu-alukan bagi mana-mana pihak yang ingin menganjurkan acara-acara keraian bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-34, Tahun 2018 untuk menghadapkan ke pihak Urus Setia Hari Kebangsaan Ke-34, Tahun 2018 bagi sebarang tindakan lanjut mengenainya.
Pada akhir Sidang Media berkenaan, Datin Paduka menyeru agar rakyat dan penduduk yang berugama Islam, supaya akan hadir ke masjid-masjid bagi Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Berjemaah dan menghadirkan diri ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien bagi sama-sama meramaikan dan menyemarakkan lagi Upacara Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34, Tahun 2018.
Dalam pada itu juga, Datin Paduka juga mengingatkan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada demi keselamatan dan kesejahteraan dengan memberi kerjasama kepada pihak-pihak yang berkenaan dan seterusnya perhatian juga hendaklah diberikan kepada kesihatan dan kebersihan supaya sambutan tahun ini akan dapat diraikan dengan penuh bermakna.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Saerah Haji Abdul Ghani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]