Home > Bahasa Melayu
Dakwaan Mengenai Kementerian Kesihatan Tidak Berasas
February 18th, 2018 | 10:15 AM | 874 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Berikutan dengan penyebaran maklumat mengenai 'Kementerian Kesihatan Menyerbu sesetengah kedai kiub dan merampas semua barangan yang dijual' yang disebarkan melalui aplikasi media sosial WhatsApp yang mana mengatakan Kementerian Kesihatan merampas barang jualan di petak kiub sehingga menyebabkan kerugian kepada peniaga yang terlibat.
Kementerian tersebut ingin menjelaskan mengenai perkara berkenaan kepada orang ramai bahawa rampasan barangan tersebut telah melibatkan kakitangan penguatkuasaan Kementerian Kesihatan yang menjalankan pemeriksaan rutin di premis-premis perniagaan (termasuk pemeriksaan melalui media sosial) dalam usahanya untuk memastikan keselamatan awam terjaga dari produk-produk yang tidak selamat dan tidak mematuhi piawaian keselamatan di Negara Brunei Darussalam, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Lazimnya, sebelum produk-produk seperti ubat, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan produk kosmetik dipasarkan di negara ini, ia perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan. Tertakluk pada jenis produk, yuran hanya akan dikenakan kepada pemohon setelah produk berkenaan dibenarkan untuk dipasarkan.
Dari semasa ke semasa, Kementerian Kesihatan akan memantau produk-produk yang dijual dalam pasaran dengan pengambilan contoh produk dan seterusnya akan dianalisis di makmal kementerian ini bagi memastikan produk-produk berkenaan selamat dan tidak mengandungi bahan-bahan terlarang yang boleh memudaratkan secara langsung atau dalam jangka masa yang panjang.
Di bawah Seksyen 58 dan 60, Perintah Ubat 2007, pegawai-pegawai penguat kuasa adalah dilantik dan diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan termasuklah peniaga-peniaga kiub. Setiap pegawai yang menjalankan pemeriksaan perlulah memastikan premis-premis tersebut mematuhi manual prosedur kerja pemeriksaan seperti menayangkan kad waran, mengambil contoh produk dan mengeluarkan notis-notis bertulis bagi memaklumkan tindakan yang telah diambil.
Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa dakwaan yang disebarkan dan ditularkan adalah tidak berasas. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan ingin membetulkan beberapa maklumat yang disebarkan dengan menyatakan perkara berikut, pegawai-pegawai penguatkuasaan hanya mengambil produk-produk yang telah ditegah penjualannya. Ini termasuklah produk ubat yang memerlukan preskripsi doktor dan memerlukan lesen bagi penjualannya; produk-produk kesihatan yang mengandungi bahan racun yang berjadual; dan produk kosmetik yang mengandungi bahan yang dilarang.
Antara produk yang dirampas ialah Dollys Pinky Night Cream yang mengandungi merkuri; Vimax Capsule yang mengandungi Sildenafil; Clobetamil G Cream yang mengandungi Clobetasol; dan Zuquenuoyuntong Quecemi Pian yang mengandungi Levonorgestrel. Notis rampasan kepada peniaga-peniaga kiub terlibat telah dikeluarkan sebagai peringatan dan jika perlu, boleh menghubungi pihak penguatkuasaan untuk penerangan lebih lanjut.
Sewaktu pemeriksaan tersebut, beberapa jenis produk kesihatan dan produk kosmetik telah diambil bagi analisa makmal. Pengambilan contoh dalam pasaran secara berjadual dilaksanakan di bawah Program Pemantauan Semasa Pasaran (Post Marketing Surveillance) untuk dianalisa di makmal bagi mengesan pencemaran termasuk bahan aktif farmaseutikal yang tidak diisytiharkan dan bahan-bahan terlarang mengikut keutamaan kategori kegunaan seperti berikut produk pelangsing badan, produk rheumatism, produk kesihatan lelaki, produk penahan sakit, produk ubat batuk dan selesma dan produk untuk penyakit kulit.
Lazimnya, selesai pemeriksaan dijalankan, pegawai-pegawai penguatkuasaan akan memberi penerangan lanjut mengenai tindakan-tindakan yang diambil dalam memastikan kefahaman para peniaga kiub tersebut. Di samping itu juga, premis-premis berkenaan akan diberikan nasihat dan saranan bagi memastikan kesalahan tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Semua barang rampasan akan dihapuskan dalam masa satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan, selaras dengan Seksyen 63(3) Perintah Ubat, 2007.
Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui internet atau melalui media-media lain seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya. Orang ramai juga diingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak berasas.
Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu juga boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak BND3,000.
Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan ke atas produk-produk yang dipasarkan di negara ini demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam. Kementerian ini menyarankan agar kesemua peniaga produk kesihatan di Negara Brunei Darussalam, termasuk peniaga-peniaga kiub akan sama-sama bersifat bertanggungjawab dan berhati-hati dalam memilih barangan yang dipasarkan di negara ini bagi mendukung secara berterusan usaha-usaha Kementerian Kesihatan ini.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang maklum balas, orang ramai bolehlah malayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di 'www.moh.gov.bn', Facebook / Instagram MOHBrunei, atau menghubungi Talian Darussalam 123.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]