Home > Bahasa Melayu
Bendera kecil meja diagihkan di Daerah Belait
SETIAUSAHA Tetap, Kementerian Pertahanan, Awang Abd Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar mengagihkan bendera kecil meja kepada pelajar sekolah ugama.
February 20th, 2018 | 11:19 AM | 1257 views
KUALA BELAIT
Bendera negara adalah lambang perpaduan, kegigihan, kebersamaan dan kesatuaan kita serta melambangkan ketaatsetiaan juga semangat patriotisme kita kepada raja dan negara yang tercinta.
Sejumlah 400 bendera kecil meja diagih-agihkan kepada pelajar-pelajar Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Kuala Belait pada Program Semarak Pengibaran Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34, Tahun 2018.
Hadir selaku tetamu kehormat dan mengagihkannya ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Awang Abd. Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.
Persembahan Koir daripada pemenang Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik di antara Mukim-mukim Daerah Belait, persembahan Koir daripada Murid-murid Sekolah dan penyampaian hadiah aktiviti serta menyaksikan pameran menyerikan majlis itu.
Murid-murid berkesempatan menonton tayangan video program semarak pengibaran bendera yang berbentuk pendidikan menjurus pada usaha untuk menyemai kecintaan dan semangat patriotisme dalam jati diri belia bermula sejak kecil.
Dalam temu bual Pelita Brunei bersama tenaga pengajar, Haji Awang Wahyudin bin Haji Awang Ismail, melahirkan rasa bangga dan teruja dengan penglibatan sekolah dalam sama-sama mengungkayahkan Sambutan Semarak Pengibaran Bendera di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Kuala Belait.
Menyentuh tentang cara penerapan semangat patriotik, beliau menjelaskan, walaupun bendera yang diagihkan berbentuk kecil, namun nilainya sangat tinggi kerana ia dapat mendidik diri sendiri agar terus bersemangat serta menghargai bendera selaku rakyat Negara Brunei Darussalam.
Tahap penerapan penghormatan terhadap bendera negara kian jelas sebagai salah satu pasak mutu pencapaian bagi Wawasan Belia 2035 sesuai dengan nilai-nilai taat setia kepada raja, agama, bangsa dan negara.
Sementara itu, salah seorang pelajar, Awang Abdul Adiv bin Asaduzzaman bersama kawan-kawannya dari Darjah V Jim, melahirkan rasa bangga kerana terpilih dan diberi kepercayaan untuk menjayakan program tersebut.
Selain itu, dengan penyertaannya juga dapat meningkatkan semangat berkobar-kobar serta bertanggungjawab dalam menanai erti cintakan negara.
Salah seorang pemenang dalam aktiviti melukis dan mewarna bendera negara, Dayang Nurul Damia binti Kamarularifin, 12 tahun, murid Darjah VI, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Kuala Belait juga berasa bertuah dapat menyertai program tersebut, sekali gus dapat mengadaptasi erti patriotik.
Program tersebut dikelolakan bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Penerangan dan Pejabat Daerah Belait.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Noraisah Haji Muhammed
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]