Home > Bahasa Melayu
Penerima anak-anak kunci lahirkan kesyukuran
DAYANG Norliza binti Haji Jalil berasa teruja atas penerimaan anak kunci rumah yang sudah lama dinantikan sejak diperkenankan pada tahun 2016.
February 21st, 2018 | 08:46 AM | 1222 views
TUTONG
Kegembiraan yang mendalam jelas tergambar pada setiap wajah penerima anak-anak kunci Rumah Kluster dan Rumah Teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong serta Rumah Teres di bawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait kerana saat yang dinanti-nantikan untuk memiliki rumah sendiri telah tercapai berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kepentingan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Salah seorang penerima yang ditemu bual oleh Pelita Brunei pada majlis penganugerahan anak kunci di Pusat Tingkatan Enam Tutong, Kampung Bukit Beruang hari ini, Awang Abdul Rahman bin Haji Abdul Rashid melahirkan rasa syukur atas penerimaan kunci rumah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah dinantikannya selama 15 tahun sejak permohonannya.
Menurut beliau, dengan adanya keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Rumah Kluster yang didiaminya adalah merupakan keberangkatan yang tidak dapat dilupakan dan berasa amat bertuah kerana rumah beliau terpilih untuk menerima keberangkatan baginda.
Seorang lagi penerima, Dayang Norsalwanawati binti Haji Shahbudin melahirkan rasa berbesar hati dan gembira di atas penyerahan kunci Rumah Kluster sejak diperkenankan pada tahun lepas.
"Dengan adanya Rumah Kluster di Daerah Tutong ini sudah setentunya memberi kemudahan dan keselesaan untuk keluarga," ujarnya lagi.
Dayang Norliza binti Haji Jalil juga meluahkan perasaan teruja atas penerimaan anak kunci rumah yang sudah lama dinantikan sejak diperkenankan pada tahun 2016.
"Dengan adanya Rumah Kluster ini, sudah setentunya dapat memberi kesenangan kepada suami dan anak-anak," jelas Dayang Norliza
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Rohani Haji Abdul Hamid
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]