Home > Bahasa Melayu
UNISSA terima kunjungan delegasi IAI Al-Aziziyah
UNISSA menerima kunjungan silaturrahim daripada delegasi (IAI) Al-Aziziyah, Aceh, Indonesia yang diketuai oleh Rektor institut berkenaan, Dr. Tgk Muntasir Abdul Kadir.
February 21st, 2018 | 08:51 AM | 635 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus menjadi fokus institusi pengajian tinggi dari luar negara dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan bersama. Perkara ini terbukti dengan adanya kunjungan silaturahim dari delegasi Institut Agama Islam (IAI) Al-Aziziyah, Aceh, Indonesia pada 19 Februari yang lalu.
Mengalu-alukan kunjungan tersebut, Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Delegasi IAI Al-Aziziyah, Aceh, Indonesia seramai empat orang itu diketuai oleh Rektor institut berkenaan, Dr. Tgk Muntasir Abdul Kadir.
Rektor UNISSA dalam ucapan alu-aluannya merakamkan rasa terima kasih atas kunjungan tersebut dan berharap kunjungan tersebut sebagai platform untuk pelaksanaan jaringan kerjasama strategik yang boleh memperkasakan bidang ilmiah di alam nusantara.
Katanya lagi, persamaan dan keserasian dalam bentuk kefahaman dalam beragama perlu dipupuk agar dapat menangkis segala fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya.
Rektor IAI pula dalam ucapan hormat mengucapkan terima kasih kepada pihak UNISSA atas kesudian dalam memberikan sokongan untuk bekerjasama dalam mengembangkan lagi bidang akademik khususnya dalam usaha mempertahankan akidah Ahli Sunnah Waljamaah mengikut pendekatan ulama Asya'irah dan Maturidiyyah serta keunggulan Mazhab Syafii di rantau ini.
Jelasnya lagi, Aceh Darussalam dan Brunei Darussalam mempunyai persamaan dari segi pegangan akidah dan Mazhab Fiqh sebagaimana jua pegangan majoriti umat Islam di rantau ini.
Beliau juga amat bersetuju perlunya ada kesefahaman dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan akademik dengan adanya pertukaran mahasiswa atau pertukaran pensyarah dan juga kolaborasi penyelidikan.
Juga hadir, pegawai eksekutif dan dekan-dekan fakulti UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Universiti Islam Sultan Sharif Ali
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]