Home > Bahasa Melayu
Pengukuhan 'Maqasid Syar'iah' pemangkin kejayaan negara
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34, Tahun 2018,
February 23rd, 2018 | 11:52 AM | 742 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, pengukuhan 'Maqasid Syar'iah' adalah menjadi pra-syarat kepada kejayaan negara.
Pengukuhan ini titah baginda, penting, sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan.
''Pada tahun ini, kita masih saja mengekalkan tema : 'Menjayakan Wawasan Negara'. Ini menunjukkan betapa seriusnya kita untuk menjayakan wawasan itu.''.
Kebawah DYMM bertitah demikian Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34, Tahun 2018, yang disiarkan secara langsung melalui Radio dan Televisyen Brunei di Istana Nurul Iman, di sini.
Baginda bertitah, dalam soal ini, rakyat seluruhnya perlu turut memainkan peranan untuk memajukan diri dan meningkatkan lagi usaha-usaha menjana ekonomi dan pembangunan.
Agensi-agensi kerajaan pula titah baginda, perlulah cekap dan bijaksana dalam menguruskan sumber-sumber negara, demikian juga pembangunan sumber manusia perlu sentiasa diberikan perhatian.
''Kita memerlukan komitmen dan usaha-usaha bersepadu dari semua pihak, termasuk sektor swasta, bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan rancak mencapai sasarannya,'' tambah titah baginda.
Terdahulu dalam titah baginda, kita selayaknya bersyukur kerana Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kepada kita keamanan dan kemakmuran, kerana bukan semua negara dapat meraih nikmat yang agung ini.
Oleh itu baginda menegaskan dalam apa pun keadaan, kita mestilah berusaha, sambil memohon kepada Allah untuk mengekalkan nikmati ini.
''Kita jangan sekali-kali berpaling daripada-Nya, kerana nikmat itu datang atau pergi adalah semata-mata kehendak-Nya jua,'' titah baginda.
Titah baginda, kita hanyalah merancang, sementara Allah jualah yang melaksana, kerana itu kalau kita merancang, maka merancanglah apa yang baik atau terbaik, bukan merancang perkara buruk atau perkara yang salah, yang tidak disukai oleh Allah.
''Di sinilah, ramai orang yang silap, yang tidak faham ini. Mereka hanya merancang apa yang mereka mahu atau yang sedap untuk mereka sahaja, tanpa mengambil kira Maha Pencipta. Lalu awal atau pun akhir, rancangan-rancangan itu pun dipenuhi oleh masalah atau ada-ada saja cacatnya, kerana tiada berkat,'' titah baginda.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor dan Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]