Home > Bahasa Melayu
HOGB Chapter Adakan We Love Brunei Darussalam Ride
PERSATUAN Pemilik-Pemilik Motorsikal Harley Davidson Brunei Chapter telah mengadakan We Love Brunei Darussalam Ride sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34.
February 25th, 2018 | 11:33 AM | 1100 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Persatuan Pemilik-Pemilik Motosikal Harley-Davidson Brunei Chapter (HOGB Chapter) malam ini telah mengadakan 'We Love Brunei Darussalam Ride' sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34.
Lebih 40 pemilik motosikal jenama Harley-Davidson menyertai acara yang diadakan setiap tahun itu.
Sebelum memulakan konvoi, ahli-ahli berkumpul di Harley-Davidson Dealership di Lambak Kanan dan mendengar taklimat ringkas mengenai keselamatan yang disampaikan oleh Activity Officer, Awangku Redzaidi bin Pengiran Haji Ahmad juga selaku ketua konvoi.
Perjalanan konvoi melalui Lebuhraya Muara-Tutong, Jalan Jerudong, Lebuhraya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, melintasi Istana Nurul Iman, Jalan Batu Satu dan terus menuju ke Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi acara bergambar ramai sebelum mengakhiri konvoi di Dermaga Diraja di ibu negara.
Perjalanan lebih kurang 34 kilometer itu adalah sebagai membuktikan semangat patriotik dalam kalangan ahli dan mendedahkan tatacara menunggang secara berkumpulan pada waktu malam.
Acara juga bertujuan bagi mengumpul para ahli untuk bersama-sama meraikan hari kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, di samping untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli.
Dalam kesempatan ini, ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli HOGB Chapter dengan penuh hormat serta takzim sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34 Tahun kepada semua rakyat Brunei.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]