Home > Bahasa Melayu
86 syarikat asing berpotensi adakan usaha sama
YANG Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
March 13th, 2018 | 11:11 AM | 1891 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof menjelaskan bahawa, kementeriannya telah mengenal pasti 86 buah syarikat-syarikat asing berpotensi untuk mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat di Negara Brunei Darussalam. Iaitu menerusi 'cluster group' yang telah dikenal pasti adakah ia halal ataupun pelancongan dan sebagainya.
Senarai syarikat-syarikat di luar negeri yang berpotensi tersebut menurut Yang Berhormat, akan dijemput ke negara ini dan seterusnya diperpanjangkan kepada pihak industri untuk meneliti selanjutnya mana-mana syarikat yang dapat ditarik ataupun dijemput untuk membuat pelaburan di Negara Brunei Darussalam, dan seterusnya untuk dipertimbangkan oleh pihak industri di negara ini.
Yang Berhormat Menteri HELNP menjelaskan demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman mengenai salah satu Petunjuk Prestasi Utama di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan yang telah dinyatakan di dalam senarai Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara Tahun Kewangan 2018/2019, iaitu mengenal pasti syarikat-syarikat asing yang berpotensi untuk mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat Negara Brunei Darussalam di luar negara atau dan membuat pelaburan di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty yakin jika pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dapat membuka jalan melalui misi-misi perdagangan dan membuat beberapa perjanjian usaha sama dengan negara-negara yang berpotensi untuk diceburi supaya akan dapat menolong pengusaha-pengusaha tempatan untuk bergiat aktif dalam mempromosikan produk-produk tempatan. Di samping akan dapat membantu peningkatan pencapaian KPI pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan mengembangkan lagi kepelbagaian kemasukan ekonomi ke negara ini.
Manakala mengenai penglibatan ahli-ahli yang profesional dalam pembangunan dan pembinaan aset-aset Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan di luar negara, terutamanya dari segi pembinaan Kediaman Rasmi dan Pejabat-Pejabat Pesuruhjaya-Pesuruhjaya tinggi ataupun kedutaan. Menurut Yang Berhormat Menteri HELNP ianya sentiasa dirujuk kepada pihak Kementerian Pembangunan dari segi standardnya, dari segi 'design' dan keperluan atau standard di negara tersebut.
Seterusnya bagi program pelajar dan biasiswa yang diketengahkan ataupun ditawarkan kepada pelajar-pelajar di negara-negara ASEAN pula, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan semenjak beberapa tahun ini, tidak lagi memegang biasiswa tersebut dari segi peruntukannya, tetapi telah diambilalih oleh Kementerian Pendidikan sementara pemilihan dan pencalonan masih lagi dibuat menerusi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bagi mendapatkan 'effect political' yang disarankan iaitu untuk membina persahabatan antara Negara ASEAN ataupun bukan ASEAN, jelas Yang Berhormat Menteri HELNP.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hajah Zabaidah Haji Salat
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]