Home > Bahasa Melayu
Bertekad jayakan ekonomi dinamik, berdaya tahan
MENTERI Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof
March 13th, 2018 | 11:18 AM | 1204 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bertekad akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkenaan di negara ini, dalam menjayakan dan mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan dalam Wawasan Brunei 2035, khususnya bagi menghasilkan sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Bagi tujuan itu, salah satu tumpuan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan ialah usaha-usaha ke arah meningkatkan perdagangan antarabangsa. Khususnya kemudahan perdagangan iaitu Trade Facilitisation dan promosi perdagangan iaitu Trade Promotion. Di samping mengurangkan halangan perdagangan sebagai strategi dalam meningkatkan pertumbuhan dan seterusnya mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam.
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof ketika membentangkan mukadimah bajet belanjawan yang disediakan untuk kementeriannya di hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara.
Dalam perkara ini, menurut Yang Berhormat, kementeriannya akan terus berusaha menjamin Negara Brunei Darussalam akan memperolehi faedah dalam perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dua hala mahupun serantau, yang disertai dan juga dalam mana perjanjian-perjanjian yang termeterai bagi boleh memberikan rakyat, peniaga dan perusahaan di Negara Brunei Darussalam akses pada pasaran yang lebih besar dan meningkatkan daya tarikan negara ini sebagai destinasi pelaburan dari luar negara.
Negara Brunei Darussalam tidak seharusnya dilihat sebagai pasaran yang terdiri daripada hanya 420,000 orang memandangkan Pulau Borneo yang sudah mempunyai hubungan jalan raya yang baik dan ekstensif serta udara yang meluas ini memberikan akses serta kepada pasaran sejumlah 18 juta orang.
Bagi tujuan itu, Negara Brunei Darussalam juga terlibat dalam beberapa perjanjian perdagangan bebas serantau di bawah ASEAN dan juga Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN, kerjasama rakan-rakan dialognya yang membuka akses pasaran yang lebih luas, jelas Yang Berhormat.
Di majlis itu, Yang Berhormat telah memaklumkan bahawa baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam telah menandatangani perjanjian The Comprehensive and Progressive.
Agreement On Trans-Pacific Partnership (CPTPP) pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chille bersama 10 negara lain iaitu Australia, Canada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore dan Viet Nam.
Perjanjian ini bukan sahaja akan membuka lagi laluan eksport produk-produk tempatan kepada pasaran di negara-negara tersebut yang terdiri daripada 500 juta penduduk, tetapi juga akan menarik peluang pelaburan dengan mengambil kesempatan iklim pelaburan negara ini yang positif dan menarik.
Menurut Yang Berhormat, dalam mendukung usaha-usaha tersebut, ke arah mempelbagaikan ekonomi negara. Perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman dan stabil, dengan persekitaran yang bersih dan hijau serta juga destinasi pelaburan dan perniagaan yang menarik.
Perkara ini amat penting, jelas Yang Berhormat, kerana ia akan dapat memberikan peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menubuhkan usaha sama dengan syarikat-syarikat luar untuk membolehkan mereka menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan pasaran produk-produk mereka.
Dalam hal ini, para perwakilan Negara Brunei Darussalam juga bersedia untuk membantu dalam mempromosi produk-produk tempatan yang dapat diketengahkan di negara-negara yang mereka berada. Di samping itu, perwakilan-perwakilan juga akan sentiasa bersedia memantau kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam yang berada di negara-negara berkenaan.
Yang Berhormat juga menegaskan bahawa, kesejahteraan dan kepentingan negara dalam arena antarabangsa akan terus dikekalkan. Di samping hubungan baik sesama jiran tetangga negara-negara ASEAN dan negara-negara lain dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Iaitu melalui Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan yang mengamalkan dasar saling menghormati terhadap kedaulatan, kemerdekaan dan identiti kebangsaan masing-masing selaku masyarakat dunia yang bertanggungjawab.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hajah Zabaidah Haji Salat
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]