Home > Bahasa Melayu
Fokuskan peningkatan produktiviti perkhidmatan hasil ladang
MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong
March 17th, 2018 | 09:55 AM | 410 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pada Persidangan hari ke-10 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung mencadangkan agar budaya berpadi dihidupkan semula dan inisiatif bagi menubuhkan syarikat koperasi berasaskan perniagaan padi bagi memenuhi pasaran tempatan dan usaha bagi mengembangkan pelancongan berasaskan padi.
Merespons pada cadangan tersebut, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong menjelaskan, cadangan berkoperasi untuk beraktiviti bertanam padi memang sudah berjalan ketika ini di beberapa kawasan misalannya di kawasan Wasan ada koperasi bekas-bekas perajurit serta dari kampung-kampung berhampiran dan hasil padi mereka dijual kepada pihak kerajaan yang setentunya memakan perbelanjaan yang besar kepada kerajaan.
Sebagai contoh tahun lepas sahaja ujar Yang Berhormat Menteri, penyediaan asal bajet berjumlah 2 juta lebih untuk membeli padi tidak mencukupi dan terpaksa menambah lagi permohonan sebanyak $5.7 juta untuk perbelanjaan kerajaan membeli semua hasil padi seluruh negara.
''Jadi harus difahami bahawa dengan bertambahnya pengeluaran padi jika kita mengekalkan sistem pada masa ini akan bertambahlah juga perbelanjaan kerajaan untuk membeli hasil-hasil padi nanti. Sebab itulah kita menfokuskan kepada peningkatan produktiviti perkhidmatan hasil ladang bagi pelanggan itu, supaya keuntungan mereka akan berlipat ganda empat kali ganda daripada yang ada sekarang.''
''Mudah-mudahan dengan demikian, mereka secara sukarela untuk tidak memerlukan subsidi ataupun dapat berunding dengan kerajaan untuk mengurangkan harga pembelian daripada kerajaan itu, asal sahaja keuntungan yang mereka dapati tidak berkurang dan yang penting sekali memastikan 'pack' kita ini berdaya tahan selama-lamanya dan tidak akan menguntungkan satu pihak sahaja," jelas Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan, mengenai usaha bagi melibatkan aktiviti berpadi sebagai sumber pelancongan juga perkara yang digalakkan kerana ada beberapa negara di sekitar kita ini negara-negara kecil yang penuntut-penuntut / penduduk-penduduk mereka tidak terdedah pada perladangan.
Pada musim percutian ujar Yang Berhormat, mereka merancang ke luar negara termasuk ke Negara Brunei Darussalam untuk menikmati ataupun didedahkan bagaimana cara orang berpadi, bukan sahaja berpadi begitu juga cara bagaimana orang memelihara ayam, kambing dan bertanam buah-buahan.
''InsyaaAllah perkara ini akan diusahakan dan akan dibincangkan dengan ejen-ejen pelancongan di negara kita untuk memasukkan aktiviti melawat ke ladang-ladang padi terutama pada musim-musim menanam dan menuai padi sebagai salah satu destinasi pelancongan InsyaaAllah'', tambah Yang Berhormat Menteri.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Noraisah Haji Muhammed
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]