Home > Bahasa Melayu
Pemimpin ASEAN - Australia meluluskan kenyataan bersama
KEBAWAH DYMM dijunjung dan dialu-alukan oleh Gabenor Jeneral Komanwel Australia, Tuan Yang Terutama General the Honourable Sir Peter Cosgrove AK MC (Bersara) pada Majlis Santap Tengah Hari yang diikuti dengan Sesi Retreat Para Pemimpin bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN - Australia.
March 19th, 2018 | 10:24 AM | 301 views
SYDNEY
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Gabenor Jeneral Komanwel Australia, Tuan Yang Terutama General the Honourable Sir Peter Cosgrove AK MC (Bersara) dan isteri, Puan Yang Terutama Lady Cosgrove dan Sesi Retreat bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN - Australia.
Majlis-majlis tersebut berlangsung di Admiralty House, Kirribilli, Sydney.
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Gabenor Jeneral Komanwel Australia dan isteri.
Kebawah DYMM berkenan menaiki kapal dari Dermaga Pusat Persidangan (Convention Wharf) menuju Admiralty House, bersama-sama dengan para pemimpin yang lain.
Sejurus keberangkatan tiba di kawasan Taman Croquet Lawn Admiralty House, Kebawah DYMM dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama General the Honourable Sir Peter Cosgrove AK MC (Bersara), Gabenor Jeneral Komanwel Australia dan isteri, Puan Yang Terutama Lady Cosgrove.
Semasa Majlis Santap Tengah Hari berkenaan, Kebawah DYMM bersama-sama Perdana Menteri Australia, The Honourable Malcolm Turnbull serta ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain dijunjung bergambar ramai bersama Tuan Yang Terutama Gabenor Jeneral.
Sejurus itu, Kebawah DYMM bersama-sama Perdana Menteri Australia, The Honourable Malcolm Turnbull serta para pemimpin ASEAN yang lain beredar ke Drawing Room untuk menghadiri Sesi Retreat Para Pemimpin bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN - Australia.
Sesi Retreat ini dimulakan dengan ucapan daripada The Honourable Perdana Menteri Australia bagi mengalu-alukan kehadiran para pemimpin ASEAN diikuti dengan ucapan pembukaan daripada Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong selaku Pengerusi ASEAN.
Semasa Sesi Retreat tersebut, Kebawah DYMM dan para pemimpin ASEAN yang lain telah membincangkan isu-isu strategik serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Sebelum mengakhiri Sesi Retreat, para pemimpin ASEAN dan Australia telah meluluskan satu kenyataan bersama 'Joint Statement of the ASEAN – Australia Special Summit: The Sydney Declaration'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Jabatan Perdana Menteri
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]