Home > Bahasa Melayu
Suntik Semangat Patriotik, Di Kalangan Penuntut
PARA penuntut dari Tahun 7 Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien bergambar ramai semasa Program Taklimat Kenegaraan.
April 11th, 2018 | 11:21 AM | 640 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam usaha menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara serta menjiwai Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara di kalangan para penuntut, Jabatan Penerangan di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan terus mengadakan siri Program Taklimat Kenegaraan.
Program taklimat kali ini diadakan di Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien dihadiri oleh Pengetua Sekolah, Awang Zamain bin Abdul berserta 174 penuntut dari Tahun 7 sekolah berkenaan dan juga tenaga-tenaga pengajar sekolah.
Taklimat bertajuk 'Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan', disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, yang antara lain menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dengan terperinci.
Menurutnya, rakyat dan penduduk negara ini dikehendaki untuk menaik-kibarkan dan kemudian menurunkan Bendera Negara pada waktu yang telah ditetapkan, yang lazimnya diumumkan melalui media masa kerajaan seperti Pelita Brunei dan Radio dan Televisyen Brunei.
Selain mengetahui sejarah bendera dan lagu kebangsaan, setiap rakyat harus menghormati dan menghayati erti di sebalik seni kata lagu 'Allah Peliharakan Sultan' kerana ianya mengandungi permohonan doa kepada Allah untuk raja dan negara, di samping mendidik para pelajar bagaimana ketertiban semasa menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan sebagai pendidikan awal yang boleh memberikan kesan positif.
Pada taklimat tersebut, para penuntut juga berpeluang menyaksikan tayangan klip video 'Kibarkan Dengan Megah Bendera Negara', 'Semarak Pengibaran Bendera Negara' dan video animasi 'Tatacara Mengibarkan Bendera Negara' dan seterusnya menyertai Sesi Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.
Awang Md. Khairulrijal Hasif bin Haji Abdul Momin, penuntut Year 7 Advance 'A', ketika ditemui berkata, taklimat yang diberikan sangat berguna dan banyak ilmu bermanfaat diperolehi dan dipelajari dengan penerangan yang mudah, jelas untuk difahami.
Program ini adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, bangsa dan negara di samping mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui kebangsaan dan bendera negara.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]