Home > Bahasa Melayu
Mesyuarat Erc Sahkan Modul Pendidikan Islam Politeknik Brunei
SESI bergambar ramai bersama Ahli-ahli Mesyuarat External Review Committee.
April 11th, 2018 | 12:59 PM | 1119 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Politeknik Brunei telah mengadakan Mesyuarat External Review Committee (ERC) pada 3 April lalu sebagai pengesahan kandungan Modul Pendidikan Islam GS1102 dan GS1103 kali pertama bagi tahun 2018.
Ahli komiti yang dilantik adalah terdiri daripada pakar dan pegawai dari institusi dan jabatan-jabatan seperti Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Mahkamah-Mahkamah Syariah; Unit Perundangan Islam; Pusat Da'wah Islamiah; Jabatan Pengajian Am; Bahagian Penguatkuasa Agama dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.
Sementara Ketua Jabatan Pengajian Am, Dr.Rahmawati binti Haji Bolhassan telah mengalu-alukan kehadiran ahli ERC.
Ketua Modul Pendidikan Islam, Pg. Dr. Hajah Norkhairiah binti Pg. Haji Hashim selaku pengerusi mesyuarat ERC dalam taklimatnya mengenai pelaksanaan modul pendidikan Islam di Politeknik Brunei berkata bahawa keperluan Politeknik Brunei kepada pengesahan kandungan module pendidikan Islam adalah bertujuan untuk menilai isi kandungan sama ada memenuhi keperluan pelajar serta matlamat dan objektif modul, di samping meneliti tahap pengetahuan dan kompetensi yang diperlukan.
ERC yang dilantik juga menurut beliau merupakan penasihat dalam memberikan cadangan penambahbaikan kepada kandungan modul serta memberikan maklumat secara konstruktif dan arah yang lebih terperinci mengenai kesesuaian kandungan modul. Selain itu, pengesahan daripada pihak ERC juga merupakan satu jaminan bahawa kandungan modul tersebut mempunyai kualiti dan juga kepentingan kepada pelajar.
Pada akhir mesyuarat tersebut, beberapa ahli ERC telah menandatangani pengesahan kepada topik-topik yang terdapat dalam modul Pendidikan Islam GS1102 dan GS 1103.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada ahli-ahli ERC yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei. Doa selamat pula dibacakan oleh Haji Mohammad Jaafar bin Haji Johari selaku Penolong Ketua Jabatan Pengajian Am.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]