Home > Bahasa Melayu
Tiga Buah Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan
PENOLONG Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir semasa menyampaikan sumbangan yayasan kepada mangsa kebakaran, Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Latiff.
April 14th, 2018 | 11:25 AM | 634 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) terus melaksanakan aktiviti kebajikan, khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Sehubungan itu, YSHHB hari ini menyampaikan sumbangan kewangan kepada tiga buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Daerah Brunei dan Muara, dan Daerah Tutong.
Ketua keluarga mangsa kebakaran yang menerima sumbangan daripada pihak YSHHB ialah Awang Haji Abu Bakar bin Haji Salim di Kampung Luagan Dudok (kejadian kebakaran berlaku pada 15 Mac 2018); Awang Mat Taha bin Nisru, Dayang Norgayah binti Mat Taha dan Awang Nordin bin Mat Taha di Kampung Pengkalan Batu (kejadian kebakaran berlaku pada 31 Mac 2018) dan Haji Abdul Rahman bin Haji Latiff di Kampung Pancha Delima (kejadian kebakaran berlaku pada 31 Mac 2018).
Sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.
Sumbangan-sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Urusan YSHHB, Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir.
Salah seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Pancha Delima, Haji Abdul Rahman ketika ditemui oleh wakil Pelita Brunei mengongsikan detik-detik semasa kejadian kebakaran tersebut.
Menurut beliau, kebakaran bermula di salah sebuah bilik tingkat atas rumahnya, di mana punca kebakaran masih dalam siasatan dan berkemungkinan berpunca daripada penghawa dingin.
Semasa kejadian tersebut, isteri beliau, Dayang Hajah Marlena binti Abdullah berada di rumah bersama seorang cucu mereka di tingkat bawah rumah, namun hanya menyedari kebakaran tersebut setelah terhidu bau asap dari tingkat atas rumah mereka.
Pihak bomba dan penyelamat berjaya memadam kebakaran dari merebak lebih teruk, namun semua barang-barang di tingkat atas rumah tidak dapat diselamatkan.
Awang Haji Abdul Rahman seterusnya melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak YSHHB atas sumbangan yang dihulurkan dan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan beliau dan keluarganya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]