Home > Bahasa Melayu
Hari Terbuka C3L, UBD, 21 - 22 April
PENOLONG Naib Canselor Akademik UBD, Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq @ Lin Naing ketika Sidang Media mengenai Hari Terbuka C3L, UBD, 21 -22 April.
April 19th, 2018 | 13:50 PM | 812 views
TUNGKU LINK
Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menubuhkan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) yang memulakan program pertamanya, BSc Digital Economy sejak bulan Januari 2017 dan pada bulan Ogos 2017, C3L menawarkan program keduanya, Master of Government.
Perkembangan utama dalam inisiatif pembelajaran sepanjang hayat di UBD pada semester akan datang, iaitu bulan Ogos 2018 adalah, selain daripada C3L, sebanyak empat buah fakulti UBD, iaitu Institusi Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Sekolah Perdagangan dan Ekonomi; Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB) dan Pusat Bahasa akan menawarkan program pembelajaran sepanjang hayat dan kursus-kursus pendek pada bulan Ogos yang akan datang ini.
Program-program yang ditawarkan ialah Master of Education; Master of Teaching; Master of Management; Master of Islamic Finance; Master of Economics; Master of Public Health; Master of Science in Petroleum Geoscience; tujuh modul bahasa dan empat kemahiran berkomunikasi.
Dalam sidang media, Penolong Naib Canselor Akademik UBD, Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq @ Lin Naing menjelaskan, UBD akan mengadakan Hari Terbuka di The Mall Gadong bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam untuk orang ramai yang ingin memohon bagi mengikuti program-program yang ditawarkan pada Ogos 2018 ini.
''Hari Terbuka yang akan diadakan pada 21 hingga 22 April ini memfokuskan kepada mereka yang ingin mengembangluaskan lagi kemahiran profesional dan meningkatkan lagi prospek pekerjaan mereka menerusi program dan modul pembelajaran sepanjang hayat,'' katanya.
Katanya, mereka yang berminat akan diberikan akses pada sumber digital, yang membolehkan mereka belajar mengikut kecenderungan mereka, masa dan tempat.
Melalui kaedah tersebut ujarnya, mereka boleh belajar semasa waktu lapang dan menyertai kelas-kelas secara 'offline' yang diadakan pada waktu petang dan hujung minggu.
Menurutnya, mereka juga diberikan peluang untuk mempelajari daripada para akademik dan pakar industri, di samping para pelajar dari pelbagai latar belakang profesional.
Sidang media diadakan di UBD.
Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang 'http://www.ubd.edu.bn/admission/lifelong-learning/' atau mengikuti Instagram 'C3L.ubd' atau menghubungi melalui talian +673 8142557.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]