Home > Bahasa Melayu
Operasi Sepadu Tangani Jenayah Rentas Sempadan
OPERASI Sepadu mengejut bersama agensi-agensi Penguatkuasaan Undang-undang yang dikendalikan di rumah pekerja di kawasan Labu, Daerah Temburong.
April 23rd, 2018 | 12:49 PM | 578 views
TEMBURONG
Operasi Sepadu mengejut bagi membanteras jenayah bersama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang telah dijalankan di rumah pekerja di kawasan Labu, Daerah Temburong Jumaat lalu, 20 April 2018.
Sebanyak lima agensi penguatkuasa menyertai operasi berkenaan, terdiri daripada Daerah Polis Temburong Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah dan Lalu Lintas Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis, Muhd. Aimi Safwan bin Zalidin.
Tujuan utama operasi dijalankan adalah bagi membanteras sebarang aktiviti atau kegiatan jenayah yang melibatkan pekerja-pekerja asing yang bekerja di negara ini, di samping meningkatkan lagi kordinasi dan kerjasama yang padu di kalangan agensi-agensi yang turut serta di dalam operasi ini dan juga membuktikan kerajaan serius dalam menangani kegiatan jenayah.
Operasi tersebut berjaya menemui dan juga merampas barang-barang tegahan seperti rokok dan juga minuman keras berbagai jenis.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi apa jua peraturan undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Di waktu yang sama, pihak polis memohon kerjasama masyarakat supaya sama-sama memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kepada pasukan PDB, dengan menyalurkan maklumat agar perkara-perkara jenayah dapat ditangani hingga peringkat akar umbi, demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]