Home > Bahasa Melayu
Belia Hari Ini Pemimpin Masa Depan
PEMANGKU Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya, hadir selaku tetamu kehormat di program tersebut. | FOTO: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
March 29th, 2016 | 10:52 AM | 5237 views
TUTONG
Isnin, 28 Mac. - Remaja dan belia yang berakhlak mulia, berwawasan dengan iman yang teguh mampu menyambut bahtera kepimpinan negara di masa hadapan.
Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Masjid Hassanal Bolkiah, Daerah Tutong buat julung-julung kalinya telah mengadakan Program Sehari Bersama Belia Kumpulan Belia-belia Masjid Daerah Tutong Bagi Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi.
Seramai 70 belia dari Kumpulan Belia Masjid Daerah Tutong menyertai program tersebut yang bermula pada pukul 8.00 pagi.
Program tersebut mengandungi empat modul, iaitu adab sebelum, semasa dan selepas berada di masjid; pemeriksaan kesihatan; membaca kitab Turath dan cara-cara penyembelihan.
PEMANGKU Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta program (atas dan bawah).
Majlis penutup program tersebut pula diadakan pada sebelah petang.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup tersebut ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.
Acara penutup dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Shahibol Omar bin Haji Yusof, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Masri bin Haji Mohammad, selaku Pengerusi Majlis.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sijil kepada para peserta program tersebut yang disampaikan oleh tetamu kehormat, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.
SEBAHAGIAN para peserta Program Sehari Bersama Belia.
Program antara lain bertujuan untuk melahirkan golongan belia yang beridentitikan Islam, berilmu dan berkemahiran di dalam asas nilai-nilai akhlak, selain memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan dalam meluaskan pengetahuan dan minda.
Ia juga untuk memupuk sikap positif dan proaktif dalam kalangan belia dengan lebih fokus serta produktif dalam melaksanakan tugas juga menggalakkan belia dalam mengikuti aktiviti yang sihat dan bermanfaat melalui masjid.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]