Home > Bahasa Melayu
Pelajar Republik Laos Minat Sertai UNISSA
DUTA Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Amphay Kindavong (dua, kanan) ketika membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal (tiga, kanan).
June 15th, 2016 | 08:55 AM | 1884 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Selasa, 14 Jun. - Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Amphay Kindavong mengadakan kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Kunjungan berkenaan bagi membincangkan mengenai penghantaran pelajar-pelajar dari Republik Laos ke UNISSA khususnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.
Tuan Yang Terutama menyatakan para pelajar Laos sangat berminat untuk mendalami undang-undang sivil dan mengenali undang-undang syari'ah.
Pada ketika ini UNISSA melalui Fakulti Shari'ah dan Undang-Undang menawarkan program dwi-ijazah (double degree), iaitu melalui Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Syariah.
Sebagai negara dalam rumpun ASEAN menurut TYT, undang-undang sivil yang dipraktikkan tidaklah jauh berbeza, justeru semua negara di bawah ASEAN boleh saling berkongsi mengenai amalan undang-undang di negara masing-masing dan setentunya ini akan memberi banyak manfaat kepada semua.
DUTA Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Amphay Kindavong (kiri) ketika membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal (kanan).
Republik Laos yang mempunyai penduduk sekitar 6.5 juta juga kini sangat komited untuk memacu para pelajarnya mendahulukan dunia pengajian pendidikan tinggi yang sangat sengit saingannya di arena antarabangsa.
Ini bersesuaian dengan wawasan negara berkenaan yang ingin keluar dari kelompok kemiskinan menjelang 2020 nanti dan menjadi antara negara membangun yang berkredibiliti.
Sekalipun keramaian umat Islam hanya sekitar 600 orang di sana tanpa institusi pengajian Islam, namun minat kerajaan untuk menghantar para pelajarnya mengetahui undang-undang Syari'ah di UNISSA merupakan langkah awal yang positif dalam mengenalkan keluhuran agama dan ajaran Islam kepada masyarakat Laos.
Tuan Yang Terutama yang diiringi oleh timbalannya turut diberikan penerangan ringkas mengenai UNISSA dan program-program yang ditawarkan oleh fakulti dan pusat.
Turut hadir dalam sesi perjumpaan berkenaan ialah Timbalan Rektor, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad serta beberapa orang pegawai utama UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Universiti Islam Sultan Sharif Ali
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]