Home > Bahasa Melayu
PPNBD Anjur Majlis Keagamaan, Eratkan Silaturahim
Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas bersama Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali menyertai bacan surah-surah lazim pada majlis tersebut.
June 24th, 2016 | 08:56 AM | 1736 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Khamis, 23 Jun. - Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Keagamaan serta Bahagian Pengakap Perempuan telah mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran, Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak-anak Yatim dan meraikan saudara baharu serta Majlis Berbuka Puasa, Menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah serta Sembahyang Sunat Tarawih bertempat di Balai Ibadah PPNBD di Jalan Gadong.
Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan kegiatan keagamaan yang dianjurkan setiap tahun bagi mengimarahkan bulan Ramadan selain meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
YANG Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas antara yang menyertai sembahyang fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Muhammad Arif bin Abdul Hadi.
Ia bertujuan untuk menyuntik semangat cintakan kitab suci Al-Quran di samping menerapkan budaya gemar membaca Al-Quran di kalangan ahli pengakap dan beramal dengannya sebagai panduan hidup serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Naib Yang Dipertua Pengiran Wahab bin Pengiran Hassan, Setiausaha Agong, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Pengakap, Pesuruhjaya Pengakap Daerah, Pegawai Eksekutif Pengakap, Pemimpin-pemimpin Pengakap, Ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana serta ahli keluarga.
YANG Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa khatam yang telah dipimpin oleh Pesuruhjaya Bahagian Keagamaan, Muhammad Arif bin Abdul Hadi diikuti dengan bacaan Takhtim oleh ahli-ahli pengakap.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 18 orang anak yatim serta dua orang saudara baharu terdiri daripada ahli-ahli Pengakap yang disampaikan oleh Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas.
Majlis yang dihadiri oleh hampir 100 orang ahli pengakap itu diakhiri dengan berbuka puasa serta Sembahyang Fardu Maghrib, Fardu Isyak serta Sembahyang Sunat Tarawih.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ihsan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]