Home > Bahasa Melayu
Republik Perancis-NBD kukuhkan kepelbagaikan ekonomi
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku tetamu kehormat dan isteri bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron pada Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Republik Perancis. | Foto: Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali
July 13th, 2016 | 10:27 AM | 2594 views
BANDAR SERI BEGAWAN
12 Julai. - Republik Perancis akan sentiasa berganding bahu dengan kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai kepelbagaian ekonomi dan integrasi serantau dalam mengatasi titik perubahan dengan jayanya.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron menjelaskan perkara itu pada Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Republik Perancis yang diadakan di kediaman beliau di Kampung Sungai Besar, Jalan Kota Batu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri.
"Perancis mempunyai pengetahuan bertaraf dunia dalam pelbagai bidang 'agro-business', industri pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi juga kerjasama pertahanan khas yang perlu diperkukuhkan," ujar Puan Yang Terutama Loan Forgeron.
Melalui syarikat-syarikat yang paling terkenal dengan rangkaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Perancis terangnya, mereka berhasrat untuk mengekalkan fasa baharu peralihan ekonomi Brunei dan berharap dapat menggalakkan beberapa pelaksanaan serta usaha sama terutama dalam pelaburan juga pelaburan swasta di antara Republik Perancis dengan Negara Brunei Darussalam.
Oleh yang demikian jelasnya, keutamaan mereka adalah untuk menyumbang pada pengetahuan dan pemindahan teknologi melalui perkongsian jangka panjang, di mana setiap aspek kerjasama di antara kedua negara dapat diperkayakan dengan pertukaran pengalaman serta interaksi di antara rakan kongsi. Ini dikukuhkan lagi oleh ahli-ahli aktif Persatuan Perniagaan Perancis - Brunei.
Tambah PYT lagi, pengkhususan hubungan Perancis - Brunei juga turut diterajui dengan pertukaran budaya yang mana, The Alliance Francaise yang sudah berada di Negara Brunei Darussalam selama hampir 30 tahun merupakan satu-satunya institusi budaya asing yang menawarkan beberapa strategi budaya yang berbahasa Perancis dan mempunyai peluang yang unik dalam dialog serta kerjasama antarabangsa.
Pada majlis tersebut juga, PYT turut memperkenalkan buat pertama kalinya, edisi khas pertama sebuah majalah bertajuk ''L'Essentiel des relations internationales'' yang didedikasikan kepada Kesultanan Brunei.
''L'Essentiel des relations internationales'' merupakan keluaran majalah isu khas untuk Negara Brunei Darusalam sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Ke-70, bermatlamat menyumbang untuk memperkukuh daya tarikan pemimpin Brunei kepada pemimpin politik dan ekonomi dari negara-negara lain.
PYT juga menyatakan, sambutan Hari Kebangsaan Republik Perancis ini juga dapat memupuk nilai-nilai teras yang perlu ada dalam kedua-dua buah negara, antaranya kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan, selain terdapat nilai-nilai yang lain yang mendukung anti kekerasan dengan berpaut kepada falsafah identiti sendiri dan tanpa mementingkan diri.
Terdahulu, Majlis Resepsi dimulakan dengan memperdengarkan lagu kebangsaan dari kedua-dua buah negara.
Juga hadir sama, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong dan isteri; Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah; Setiausaha Tetap KHEDN, Awang Haji Mohammad 'Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Awang Muhammad Sunadi bin Haji Buntar; Duta-duta Besar Istimewa dan Mutlak serta para Pesuruhjaya Tinggi yang Menetap dan berada di negara ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Khartini Hamir
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]