Home > Bahasa Melayu
Doa Dipohon Buat Raja Tercinta
KEBERANGKATAN Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong. | FOTO: INFOFOTO (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Hamzah Mohidin, Mohd. Sahrizal Haji Said)
July 15th, 2016 | 12:39 PM | 2086 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Khamis, 14 Julai. - Seluruh rakyat dan penduduk di negara ini menadah tangan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, kekal karar memerintah negara dengan aman dan sejahtera dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan ke atas bumi yang tercinta ini.
Tanggal 15 Julai merupakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan tahun ini genaplah usia baginda yang ke-70 tahun dan ianya adalah kurniaan nikmat Allah Subhanahu Wata'ala yang tidak terhingga dan seluruh rakyat serta penduduk tidak putus-putus mendoakan keafiatan dan kesejahteraan buat raja yang dikasihi.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah para jemaah.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah para jemaah.
Bersempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM yang ke-70 tahun ini, baginda berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.
Keberangkatan Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Pengerusi berserta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-70 Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi serta Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah para jemaah.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel berserta kerabat diraja yang lain.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Kemudian disusuli dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah para jemaah.
Manakala, Doa Kesyukuran telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
Selain itu, beberapa buah masjid lain juga dijadikan sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah seperti di Daerah Brunei Muara di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan.
MAJLIS Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil Dan Doa Kesyukuran berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Manakala di Daerah Belait pula ialah di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Perpindahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria.
Sementara di Daerah Tutong pula ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan di Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Menyemarakkan sambutan hari keputeraan baginda seperti lazimnya akan diadakan Istiadat Perbarisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara di samping acara-acara lain termasuk Majlis Ramah Mesra di keempat-empat daerah yang sememangnya dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]