Home > Bahasa Melayu
Persembahan Khas Ceriakan Keberangkatan
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menyaksikan persembahan Puak Murut.|FOTO: (Masri Osman, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Hamzah Mohidin, Mohd. Sahrizal Haji Said, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
July 22nd, 2016 | 12:09 PM | 3315 views
PEKAN BANGAR
Khamis, 21 Julai. - Rakyat berbilang bangsa di Daerah Temburong hari ini melahirkan rasa syukur dan gembira bagi menantikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat di daerah ini.
Keberangkatan baginda pada majlis tersebut, sememangnya menjadi detik ristaan yang dinantikan oleh rakyat dan penduduk di Daerah Temburong dan sebagai salah satu acara penyeri bagi menyambut majlis keberangkatan tersebut, empat puak (Melayu, Murut, Cina dan Iban) telah menyembahkan Persembahan Khas masing-masing yang menjurus kepada tema 'Raja Berdaulat, Laila Perkasa'.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berkenan bergambar ramai dengan peserta persembahan asas seni silat di Pondok Puak Melayu.
Tema ini secara langsung menggambarkan kedaulatan dan kecemerlangan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang sultan yang kekal berdaulat serta disanjung tinggi.
Baginda merupakan pemimpin yang bijaksana, berwibawa dan sentiasa istiqamah, menjadi 'qudwah hasanah' dan inspirasi dalam kemajuan dan pembangunan agama, bangsa dan negara.
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menyaksikan persembahan Puak Murut.
Wawasan baginda untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang maju serta membangun, dilaksanakan dengan penuh keberanian dan iltizam.
Ketaatsetiaan dan perpaduan rakyat sentiasa mendukung kejayaan dan kecemerlangan kepimpinan baginda berteraskan Islam sebagai ugama rasmi negara yang berlandaskan ajaran-ajaran Ahli Sunnah Waljamaah sesuai dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja.
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada masyarakat Iban.
Konsep persembahan yang disembahkan melalui pondok-pondok etnik ini menjurus kepada memperkasa masyarakat melalui warisan budaya.
Pondok etnik Puak Melayu yang mula-mula dilawati baginda telah mempersembahkan persembahan seni silat iaitu pembelajaran seni pencak silat bagi orang-orang yang baru belajar silat.
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.
Menurut Pengerusi PERSIB Daerah Temburong, Awang Jaluddin bin Tuah, pencak silat ini mesti dipertahankan kerana ia merupakan budaya tradisi seni orang Melayu selain ia sebagai sukan untuk kesihatan dan boleh membentuk akhlak yang baik jika dihayati dengan sebenar-benarnya.
Lawatan baginda seterusnya ialah ke Pondok Puak Murut yang mempamerkan adat perkahwinan yang merupakan suatu keunikan dalam majlis perkahwinan puak berkenaan, mempamerkan persandingan pengantin duduk di atas tawak-tawak iaitu dengan adat 'Ngated Tayen' (balik tiga hari) iaitu satu adat yang masih dipraktikkan oleh Puak Murut hingga sekarang.
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.
Menurut Balang bin Gelawat, persembahan yang mereka adakan itu merupakan sesuatu yang unik dan jarang sekali dipersembahkan.
Sementara pondok bagi masyarakat Cina pula mempersembahkan cara penulisan kaligrafi iaitu dengan mempamerkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tulisan kaligrafi Cina di dalam sebuah kelas lama.
KEBAWAH DYMM berkenan menandatangani lembaran sempena keberangkatan ke Daerah Temburong.
Menurut wakil masyarakat tersebut Lim Eng Meng, persembahan berkenaan secara langsung untuk menanamkan kefahaman serta cara menggunakan berus kepada generasi muda khusus dalam membuat kaligrafi tulisan Cina.
Keunikan dalam pembelajaran tulisan Cina ini memerlukan hafalan dan bukan dengan cara mengeja sepertimana bahasa-bahasa lain.
SEBAHAGIAN penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua Daerah Temburong ketika menjunjung keberangkatan.
Pondok terakhir yang baginda lawati ialah Pondok Puak Iban yang mempamerkan pembuatan senjata dan Tarian Ngajat yang digelar 'Ngajat Bujang Berani' yang menunjukkan ketangkasan dan keberanian pahlawan masyarakat Iban dengan berlatarbelakangkan cara pembuatan senjata dari puak tersebut.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Abu Bakar Haji Abdul Rahman
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]