Home > Bahasa Melayu
Kunjungan Hormat Eratkan Kerjasama dalam Bidang Sukan
MENTERI Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Sosial Sarawak, Yang Berhormat Tan Sri William Mawan Ikom berlangsung di KKBS. | FOTO: PELITA BRUNEI (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
April 3rd, 2016 | 10:20 AM | 3064 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 2 April. - Persediaan Negeri Sarawak dalam Kejohanan Sukan Malaysia XVIII (SUKMA XVIII) merupakan antara perkara yang disampaikan semasa berlangsungnya kunjungan hormat Menteri Pembangunan Sosial Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Mengenai Ehwal Sukan di Negeri Sarawak, Yang Berhormat Tan Sri William Mawan Ikom kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Semasa kunjungan hormat di Pejabat Menteri, Tingkat 8, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Berakas itu, kedua-dua belah pihak juga bertukar-tukar pandangan bagi mengeratkan lagi kerjasama di antara kedua-dua negara dalam bidang sukan.
Negeri Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi SUKMA, tahun 2016 yang dijadualkan bermula pada 22-31 Julai 2016 yang akan mempertandingkan sebanyak 24 acara sukan, terdiri daripada 19 acara sukan utama dan selebihnya adalah acara sukan pilihan.
Ikut serta dalam rombongan ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi), Yang Berbahagia Datuk Ose Murang; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak, Encik Kameri Haji Affandi; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Haji Abdul Haris Ishak dan Kordinator SUKMA XVIII Sarawak, Tahun 2016, Encik Affendi Keli.
Juga hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan pegawai-pegawai kanan kementerian.
Negara Brunei Darussalam telah menyertai kejohanan SUKMA sebanyak sembilan kali sejak tahun 1996 di mana pada tahun 2014, negara telah berjaya mengutip sebanyak satu pingat emas dalam acara karate-do.
Sejurus selepas kunjungan hormat, satu sesi taklimat telah disampaikan oleh wakil delegasi Sarawak mengenai penganjuran SUKMA XVIII, Tahun 2016, diadakan di Bilik Mesyuarat At-Taufiq, Tingkat 6, KKBS.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Marlinawaty Hussin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]