Home > Sports
Kejohanan Badminton Berakhir
PENOLONG Pekerja Kanan Belia dan Sukan Daerah Belait, Awang Faudillah Haji Mohd Ghani menyampaikan hadiah kepada juara beregu lelaki, Rendra Akmal dan Justin Liaw Chee Zien
December 14th, 2020 | 09:40 AM | 9112 views
KUALA BELAIT
Kejohanan Badminton Shuttle Time Brunei Remaja Di Bawah 13 Tahun bagi daerah-daerah anjuran Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) berakhir hari ini dengan perlawanan akhir bagi Daerah Belait.
Johan Beregu Lelaki disandang oleh Justin Liaw Chee Zien dan Rendra Akmal setelah menang 2 - 1 ke atas Bryan Wong Vi Wen dan Jong Ji Ren sekali gus menjadikan mereka naib juara.
Terdahulu, perlawanan diadakan untuk menentukan tempat ketiga dan keempat, di mana pasangan Hansen Chien Nen Fung dan Bryan Chien Hen Sheng berjaya mengalahkan pasangan Awangku Mohammad Qawi dan Md. Nur Izzat Fathullah.
Kejohanan turut diserikan dengan perlawanan persembahan daripada pemain berumur 5 tahun menentang pemain berumur 13 tahun.
Dalam beregu perempuan pula, Koh Zhi Ying dan Vaign Sherelini meraih tempat pertama, diikuti Aqueela Junaidi dan Aura Raihana Danish Md Sharel di tempat kedua manakala Nur Haziqah Adawiyah dan Aiyaa Nadhirah tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah ialah Penolong Pekerja Kanan Belia dan Sukan Daerah Belait, Awang Faudillah bin Haji Mohd. Ghani.
Sebanyak 18 Beregu Lelaki dan tiga Beregu Perempuan menyertai kejohanan tersebut yang diadakan bermula 9 Disember bertempat di Dewan Badminton Gudang Beras, Kuala Belait.
Juara menerima hadiah wang tunai BND120 dan medal, naib juara menerima BND100 dan medal manakala tempat ketiga menerima BND80 dan medal. Para pemenang juga menerima beberapa karton minuman botol tajaan Purion Brunei.
Antara tujuan kejohanan diadakan ialah bagi mencungkil bakat pemain muda yang boleh diserapkan kepada latihan dan peringkat seterusnya, selain untuk memupuk minat kanak-kanak kepada sukan badminton dari awal.
Kejohanan tersebut dilancarkan pada 2012 oleh Badminton World Federation, ialah program badminton sekolah yang menyokong prinsip bahawa kanak-kanak harus menjalani kehidupan yang sihat dan aktif, baik di dalam mahupun di luar sekolah.
PBKBD berharap untuk menjadikan kejohanan tersebut sebagai aktiviti tahunan untuk menarik lebih banyak lagi pemain berumur 5 hingga 15 tahun untuk berjinak dalam sukan badminton.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]