Home > Sports
UBD Kutip 3 Mata Penuh
AKSI perlawanan di antara UNISSA dan UBD di Kejohanan Bola Sepak Universiti Brunei Darussalam 2021 yang berlangsung di Padang ‘A’, Kompleks Sukan UBD.
June 24th, 2021 | 12:16 PM | 759 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kumpulan ‘B’ Kejohanan Bola Sepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2021 Antara Institusi-Institusi Pengajian Tinggi membuka tirai dengan menyaksikan pasukan UBD berentap menentang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Padang ‘A’, Kompleks Sukan UBD hari ini.
Pasukan tuan rumah, UBD berjaya mengutip tiga mata penuh setelah berjaya menumpaskan pasukan UNISSA dengan keputusan berkesudahan 2-1.
UNISSA pada babak pertama berjaya menggegarkan kubu pertahanan UBD menerusi Faisol Din-ah pada minit ke-26.
Namun jaringan gol yang dibuat oleh UNISSA tidak melunturkan semangat UBD untuk mampu menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian dengan sumbatan gol sepakan Abu Suffian bin Haji Adanan.
Jaringan 1-1 berlarutan berikutan tentangan kedua-dua pasukan sehingga tamat pusingan pertama.
Pada separuh masa kedua pula, Jurulatih Pasukan UBD, Haji Abdul Arif Faiz bin Haji Bulat mengatur strategi permainan sehingga Md Nur’wafiuddin bin Haji Osman membolos gawang pihak lawan pada minit 68.
Meskipun UNISSA berkali-kali menggasak benteng UBD, namun tidak berhasil dan kedudukan 2-1 berkekalan sehingga pengadil membunyikan wisel penamat.
Jurulatih Pasukan UNISSA, Awang Haji Mohammad Khairul Rijal bin Begawan Mudim Haji Sapar mengulas bahawa kedua-dua pasukan bermain dengan baik namun beliau mendapati anak didikannya telah membuat dua kesilapan sehingga memberikan kelebihan dan sekali gus dimanfaatkan oleh UBD.
Meskipun pasukannya kalah pada pusingan pertama ini, Awang Haji Mohammad Khairul Rijal setentunya berharap untuk memperbaiki prestasi anak buahnya dan menjalankan latihan agar kemenangan berpihak kepada mereka bagi dua perlawanan akan datang nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]