Home > Sports
IBTE Benam MIC, 9 - 0
ANTARA aksi perlawanan bolasepak Kejohanan UBD 20201 di antara IBTE (jersi merah) menentang Micronet (versi hitam)
July 14th, 2021 | 09:45 AM |
994 views
TUNGKU LINK
Pasukan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) berpesta gol setelah membenam pasukan Micronet International College (MIC) dengan jaringan 9 - 0 dalam Kumpulan 'A', pada Kejohanan Bola Sepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2021 Antara Institusi-institusi Pengajian Tinggi, yang berlangsung di Padang 'A', Kompleks Sukan UBD, di sini.
Pesta gol IBTE bermula dengan jaringan Muhd. Rahimin bin Abd. Ghani pada awal minit ke-4 untuk mendahului MIC, 1 - 0.
Selang tiga minit, gawang MIC digegarkan lagi apabila IBTE menambah satu lagi gol menerusi rembatan Md. Nur Shahbidin bin Abdullah Samsudin. Gol ketiga IBTE diperoleh menerusi sepakan Md. Noor Sherzaman bin Haji Hassan Ahmad pada minit ke-13 perlawanan.
Gol keempat IBTE berjaya dicipta melalui sepakan percuma oleh Muhd. Rahimin pada minit ke-28.
Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, tendangan tajam Muhd. Rahimin gagal diselamatkan penjaga gawang MIC untuk mengukuhkan kedudukan IBTE, 5 - 0 hingga tamat separuh masa pertama.
Perlawanan pada separuh masa kedua semakin rancak dan menarik, terutama sekali aksi penjaga gawang MIC yang terus berusaha dan tidak berputus asa untuk mengawal gawang MIC daripada serangan bertali-arus IBTE.
Namun, IBTE menerusi kelincahan Md. Hamiz Arsyad bin Haji Mohd. Faisal akhirnya berjaya membolosi gawang MIC pada minit ke-46 perlawanan untuk terus mendahului dengan jaringan, 6 - 0.
Pemain IBTE, Muhd. Rahimin tidak mensia-siakan peluang yang terhidang untuk mencipta jaringan ketujuh IBTE pada minit ke-58.
Jaringan ke-8 tercipta hasil sepakan Md. Izzan Nazmi bin Mahmood pada minit ke-66 yang membakar semangat rakan sepasukan untuk terus menguasai permainan.
Md. Noor Sherzaman menambah luka MIC dengan melengkapkan gol kemenangan IBTE pada minit ke-77 dan menjadikan kedudukan 9 - 0 tersebut kekal hingga pengadil meniupkan wisel penamat.
Dengan keputusan tersebut, pasukan IBTE kini berada di kedudukan kedua Kumpulan 'A', sekali gus berpeluang untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan, tetapi tertakluk pada keputusan perlawanan Politeknik Brunei (PB) menentang Cosmopolitan College of Commerce and Technology (COSMO) nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]