Home > In The Court
Terima Padah Akibat Menipu
January 24th, 2022 | 10:32 AM | 853 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang anggota polis Lans Koperal 4555 Sahlan bin Haji Mat Sahat (defendan), 39 tahun, dipenjara 24 bulan setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan kerana menipu di bawah Bab 420 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan satu pertuduhan percubaan menipu di bawah Bab 420 dibaca bersama Bab 511 Akta yang sama.
Aduan terhadap defendan telah dibuat oleh salah seorang mangsa wanita warganegara asing kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) mengenai satu kejadian pada 27 April 2015 kira-kira pada jam 6.45 petang di sekitar kawasan lampu isyarat berdekatan Masjid Kilanas.
Mangsa mengatakan dia telah diberhentikan oleh defendan yang memandu kereta Toyota Soluna dengan nombor pendaftaran BS3761. Mangsa diberitahu oleh defendan bahawa batu yang terbang daripada tayar mangsa telah menyebabkan cermin depan kereta defendan retak. Defendan meminta mangsa untuk membayar ganti rugi sebanyak BND400.
Defendan juga mengatakan bahawa dirinya adalah seorang anggota polis. Setelah perbincangan dan desakan daripada defendan, akhirnya mangsa bersetuju memberi wang sebanyak BND50 kepada defendan. Setelah wang diserahkan, defendan mengatakan kepada mangsa yang ini bukan rasuah.
Siasatan yang dijalankan oleh BMR mendapati terdapat empat mangsa lain yang telah ditipu oleh defendan dengan modus operandi yang sama iaitu defendan dengan tidak jujur telah mendorong mangsa-mangsa tersebut untuk memberi sejumlah wang tunai dengan memberitahu mangsa bahawa ada batu terpelanting dari kereta mereka dan menyebabkan keretakan cermin depan kereta defendan.
Kejadian-kejadian tersebut berlaku pada tarikh, masa dan tempat yang berlainan iaitu di sekitar Jalan Belimbing, Jalan Batu Bersurat, Jalan Bunut dan Jalan Kilanas antara bulan April dan Mei 2015. Seorang daripada empat mangsa adalah warga penduduk tetap, dua daripada mereka adalah warganegara Malaysia dan seorang lagi warganegara Thailand.
Siasatan BMR juga mendapati defendan telah melakukan kesalahan lain iaitu kesalahan memandu kereta yang mempunyai cukai jalan raya yang sudah mansuh pada masa empat kejadian tersebut dan ini adalah kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas.
Terdahulu pada 7 Disember 2020, defendan telah didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan atas empat pertuduhan di bawah Bab 420 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) iaitu kesalahan percubaan menipu seorang mangsa dan kesalahan menipu tiga mangsa pada tarikh, masa dan tempat yang berlainan dan empat pertuduhan di bawah Bab 8(1) Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68) kerana memandu sebuah kereta Toyota Soluna bernombor pendaftaran BS3761 yang mempunyai cukai jalan raya yang sudah mansuh pada 30 April 2013.
Semasa pendakwaan tersebut, defendan mengaku tidak bersalah menipu kesemua mangsa. Walau bagaimanapun, defendan mengaku bersalah telah memandu kereta yang mempunyai cukai jalan raya yang sudah mansuh pada masa empat kejadian tersebut. Perbicaraan kes dimulakan dengan memanggil lapan orang saksi.
Pada 20 Januari 2022, defendan telah dibawa ke premis BMR untuk prosiding mahkamah bagi mendengarkan penghakiman kes yang dibuat secara maya oleh Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman. Dalam penghakimannya, majistret berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah dan tidak percaya dengan pembelaan defendan.
Defendan juga telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi menjalani Ujian PCR sebelum direman. Pada 22 Januari 2022, mahkamah telah menjatuhkan hukuman dan menyatakan defendan adalah seorang anggota polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang namun telah menipu mangsa dan memandu kereta yang mempunyai cukai jalan raya yang sudah mansuh.
Hukuman yang dijatuhkan di Bawah Kanun Hukuman Jenayah iaitu bagi pertuduhan pertama, percubaan untuk menipu seorang warga tempatan, defendan dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara di bawah Bab 420 dibaca bersama Bab 511 Kanun Hukuman Jenayah di mana hukuman dijalankan secara berasingan dengan pertuduhan pertama dan kedua.
Bagi pertuduhan ketiga iaitu menipu seorang warganegara Malaysia dan mangsa membayar BND50 kepada defendan, di mana defendan dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara di bawah Bab 420 Kanun Hukuman Jenayah yang mana hukuman pertuduhan ketiga dan ketujuh dijalankan secara serentak.
Kemudian, pertuduhan ketujuh, menipu seorang warganegara Thailand dan mangsa membayar BND100 kepada defendan, di mana defendan dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara di bawah Bab 420 Kanun Hukuman Jenayah dan hukuman bagi pertuduhan ketiga dan ketujuh untuk dijalankan serentak.
Jumlah pemenjaraan adalah 30 bulan, akan tetapi mahkamah telah mengurangkan hukuman pemenjaraan terhadap defendan kepada 24 bulan bermula dari 20 Januari 2022.
Sementara itu, hukuman bagi kesalahan di Bawah Akta Lalu Lintas, defendan juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua, keempat, keenam dan kelapan iaitu Kesalahan di bawah Bab 8(1) Akta Lalu Lintas iaitu denda BND100 bagi setiap pertuduhan jumlah keseluruhan denda BND400 dan jika gagal, pemenjaraan satu minggu bagi setiap pertuduhan; jumlah keseluruhan empat minggu pemenjaraan, denda dibayar sebelum 5 Februari 2022 dan pemenjaraan bermula setelah tamat pemenjaraan 24 bulan.
Mahkamah juga memerintahkan defendan untuk membayar ganti rugi kepada mangsa-mangsa dengan jumlah wang yang ditipu iaitu pertuduhan ketiga untuk membayar mangsa sebanyak BND50 bagi pertuduhan ketujuh untuk membayar mangsa sebanyak BND100 dan jumlah pembayaran ganti rugi BND150 dibayar sebelum 5 Februari 2022 dan jika gagal, satu minggu pemenjaraan selepas bermula setelah tamat pemenjaraan 24 bulan.
Pendakwaan kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff. Majistret yang mendengarkan kes ini adalah Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.
Sebarang aduan dan maklumat bolehlah dilaporkan kepada BMR melalui talian +673 8721002 / +673 8130002 bagi Ibu Pejabat, +673 3331513 / +673 8721003 bagi Cawangan Belait atau melalui e-mel '[email protected]'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]