Home > In The Court
Curi Kabel : Dipenjara 20 Bulan, Sebat
January 27th, 2022 | 09:53 AM | 853 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Mahkamah Majistret, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan dua sebatan terhadap seorang lelaki warga tempatan setelah mengaku bersalah mencuri kabel milik Syarikat Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN).
Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Amin bin Haji Johara (D1), 45 tahun serta memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Jun 2021.
Menurut fakta kes, di antara 10 Mei 2021 kira-kira jam 11.00 malam dan 11 Mei 2021 kira-kira jam 6.00 pagi, D1, Orang A, Orang B dan Orang C (yang masih bebas) pergi ke sekitar Jalan Kasat, Kampung Lupak Luas, Lumapas, dengan menggunakan kenderaan Daihatsu Terios berwarna hitam.
Ketika mereka berada di tempat kejadian, Orang A meminta D1 berhenti di tepi jalan sebelah. Orang B dan Orang C kemudian turun dari kenderaan itu. Selepas itu, Orang C dan Orang B terus membuka lurang yang berada di kawasan tersebut dan kemudian potong kabel tembaga yang terdapat di dalam lubang menggunakan gergaji.
Mereka kemudian mengikat satu hujung kabel tembaga tersebut menggunakan tali dan Orang B kemudian mengikat hujung yang satu lagi tali ke belakang kereta. Orang A kemudian mengarahkan D1 untuk menarik kabel tembaga tersebut.
Setelah berjaya menarik kabel tembaga di lubang utama di tempat kejadian, mereka kemudiannya memandu dengan membawa kabel tembaga yang dicuri.
Selepas itu, mereka pergi ke sebuah kebun berhampiran tempat kejadian. Apabila tiba di sana, D1, Orang A, Orang B dan Orang C terus mengangkat barang yang dicuri iaitu kabel dengan niat untuk membakar penutup (cover) kabel untuk mendedahkan wayar tembaga di dalamnya.
Selepas itu, pada 11 Mei 2021, kira-kira jam 8.30 pagi, D1 dan Orang B pergi ke VN Recycling Sdn. Bhd. di sekitar Kampung Kilanas, Mulaut dengan niat untuk menjual wayar tembaga tersebut. Apabila mereka tiba di kedai tersebut, Orang B terus menjual tembaga tersebut kepada salah seorang pekerja di kedai tersebut sementara D1 menunggu di dalam kereta.
Daripada jualan itu, D1 menerima sejumlah BND1,853 tunai untuk 195kg wayar tembaga yang dicuri. Wang tunai tersebut kemudiannya dibahagikan kepada D1, Orang A, Orang B dan Orang C. D1 juga mengaku menerima BND400 daripada hasil jualan wayar tembaga yang dicuri, yang telah digunakannya untuk perbelanjaannya seperti membayar rumah dan membeli pakaian untuk anak-anaknya.
Siasatan polis mendedahkan bahawa pada 10 Jun 2021, Juruteknik Operasi untuk UNN bersama wakil dari UNN pergi ke sekitar Jalan Kasat, Kampung Lupak Luas, Lumapas dan mendapati bahawa kabel tembaga dalam simpanan UNN telah dipotong.
Setelah mengesahkan perkara ini, pekerja UNN terus membuat laporan polis melalui Talian 993 pada kira-kira jam 10.08 pagi pada 10 Jun 2021. Siasatan polis seterusnya mendedahkan penglibatan D1, Orang A dan Orang B berikutan penahanan mereka.
Dalam kenyataannya kepada pihak polis, D1 mengaku terlibat dalam kes curi kabel tembaga dari sekitar Jalan Kasat, Kampung Lupak Luas, Lumapas dan terlibat dalam merosakkan kabel tembaga tersebut dengan memotong kabel tembaga dan menarik kabel menggunakan kereta tersebut di hadapan Orang A, Orang B dan Orang C.
D1 juga mengakui bahawa dia melihat Orang B dan Orang C membakar kabel tembaga yang dicuri sambil diarahkan oleh Orang A untuk mendapatkan wayar tembaga. Tambahan pula, D1 juga mengaku pergi ke tempat VN Recycling Sdn. Bhd. bersama Orang B untuk menjual tembaga daripada kabel dan membahagikan jumlah yang diterima daripada jualan tersebut sesama mereka.
Siasatan lanjut polis mendedahkan bahawa kerugian fizikal yang dialami oleh UNN untuk 120 meter kabel tembaga yang dicuri berjumlah BND4,482 manakala kos yang dialami oleh UNN untuk membaiki kerosakan ialah BND8,922.
Jumlah kerugian yang dialami oleh UNN untuk dibaiki dan menggantikan kabel yang dicuri ialah BND13,404 dan sebut harga kerosakan daripada UNN. Kabel tembaga yang dicuri tidak dapat dipulihkan.
Dalam rekod, D1 mempunyai sabitan terdahulu berkaitan kecurian pada tahun 2016. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Haji Jumat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]